SHAH ALAM, 26 NOV: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 24,907 orang membabitkan 8,308 keluarga setakat pagi ini, menurut Pusat Pengurusan Bencana Negara.
Setakat jam 6 pagi, seramai 24,907 mangsa berada di 142 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di 26 daerah di seluruh negara.
Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas dengan 9,525 mangsa di empat daerah iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh. Tumpat merekodkan mangsa tertinggi iaitu 4,913 orang, walaupun jumlah itu menunjukkan trend penurunan.
Sebaliknya, daerah Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh mencatatkan peningkatan mangsa. Perlis turut menunjukkan lonjakan mangsa dengan jumlah keseluruhan 5,968 orang di 18 PPS.
“Beberapa jalan di Kangar, Padang Besar dan Mata Ayer masih ditutup akibat banjir atau tanah runtuh,” menurut laporan berkenaan, lapor Berita Harian.
Perak pula mencatatkan 4,184 mangsa dengan Manjung merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,705 orang. Beberapa laluan di daerah itu turut ditutup berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.
Di Selangor, 2,964 mangsa berlindung di 21 PPS dengan kawasan terjejas termasuk Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Sabak Bernam. Antara jalan ditutup sementara ialah Jalan Robinson, Jalan Harmoni dan Persiaran Puncak Alam.
Kedah pula merekodkan 2,043 mangsa, majoritinya di Kubang Pasu, manakala Terengganu mencatat 131 mangsa di Besut dan Marang dengan peningkatan di Besut.
Pulau Pinang dan Pahang masing-masing mencatat 50 dan 42 mangsa dengan kawasan terjejas termasuk Seberang Perai Tengah, Raub dan Lipis.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri, selain amaran hujan sangat lebat berterusan di lima daerah Kelantan termasuk Tumpat dan Pasir Mas.
Pemantauan paras air sungai mendapati beberapa sungai utama di Kelantan dan Johor seperti Sungai Semerak dan Sungai Golok menunjukkan trend meningkat, manakala Perlis dan Terengganu pula menunjukkan paras bercampur.
Jabatan Kerja Raya melaporkan lebih 100 jalan ditutup atau ditutup sebahagiannya akibat banjir, banjir kilat, tanah runtuh, tebing jalan runtuh dan jalan mendap. Antaranya:
Jalan Padang Behor–Guar Syed Alwi (Perlis) – dibuka kepada kenderaan berat sahaja
Jalan Teluk Gedung–Teluk Dalam, Manjung (Perak) – ditutup
Jalan Jitra–Kelubi, Kubang Pasu (Kedah) – ditutup
FT54 Assam Jawa–Sungai Buloh (Selangor) – dibuka semula
Jalan Wakaf Bharu–Palekbang (Kelantan) – dibuka semula
Kebanyakan empangan berada pada paras selamat, namun beberapa empangan berada pada 100 peratus kapasiti termasuk:
Congok, Bekok & Linggiu (Johor)
Malut (Kedah)
Air Kuning & Sultan Azlan Shah (Perak)
Timah Tasoh (Perlis)
Sungai Semenyih & Klang Gates (Selangor)
Semua empangan masih terkawal tanpa sebarang pelepasan kecemasan dilaporkan.








