SEKINCHAN, 23 NOV: Selangor terus memperluas promosi pelancongan ke peringkat global melalui projek dokumentari New Folk Song Gala: Edisi Selangor, hasil kerjasama strategik Kerajaan Negeri, Tourism Selangor, Guangxi Radio dan Televisyen (GXRTV) serta Jan Media Marketing.
Selaras aspirasi Tahun Melawat Selangor 2025, sinergi dengan wilayah Guangxi, China itu bertujuan mengetengahkan budaya dan tarikan pelancongan negeri melalui penghasilan dokumentari dan video.
Kerjasama itu melibatkan 50 penggiat seni dan budaya terdiri penari, pemuzik dan juga penyanyi dari China dan Selangor. Kolaborasi itu menampilkan gabungan elemen budaya kedua-dua wilayah termasuk lagu rakyat, tarian tradisional serta seni persembahan.
Antara tarikan utama projek ialah gandingan penyanyi Malaysia, Layla Sania dan Wu Keyue dari China yang bakal mempersembahkan lagu rakyat Guangxi dan Selangor ke peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi simbol perpaduan budaya yang harmoni serta mengukuhkan hubungan mesra Malaysia dan China.
Penggambaran lima hari dari 19 hingga hari ini menampilkan lokasi indah di daerah Petaling dan Kuala Selangor, dengan kemuncak rakaman berlatarbelakangkan sawah padi di Sekinchan.
Menerusi 'New Folk Song Gala', keindahan seni budaya dan warisan Guangxi dan Selangor dapat diperluas ke pentas dunia, sekali gus menjadikan Selangor sebagai hab pelancongan budaya serantau.






