ad

Seri Kembangan: Destinasi pelancongan bahagia di Selangor

16 Nov 2025, 4:00 AM
Seri Kembangan: Destinasi pelancongan bahagia di Selangor
Seri Kembangan: Destinasi pelancongan bahagia di Selangor
Seri Kembangan: Destinasi pelancongan bahagia di Selangor

SHAH ALAM, 16 Nov: Terletak di antara Kuala Lumpur dan Putrajaya, kawasan Seri Kembangan semakin menyerlah sebagai destinasi pelancongan bahagia yang menawarkan gabungan menarik antara sejarah, makanan dan pengalaman moden.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berkata kawasan tersebut mempunyai keunikan tersendiri kerana masih mengekalkan suasana kampung walaupun berada di tengah kawasan urban.

“Pelancongan bukan semata-mata soal keuntungan tetapi tentang perasaan dan memori.

"Saya mahu orang datang ke sini dan rasa mesra, rasa hangat layanan penduduk tempatan,” katanya dalam program Skop edisi khas sempena Tahun Melawat Selangor 2025, siaran 10 November 2025.

Beliau berkata, Kampung Baru Seri Kembangan merupakan kampung baru terbesar di Malaysia yang masih hidup dengan identiti asalnya, manakala pelbagai lokasi seperti The Mines, House of Kambing dan Nenas Montel Café di MAEPS menjadikan kawasan ini sesuai untuk seisi keluarga.

Tinjauan di Kampung Baru Seri Kembangan pada 3 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menariknya, Seri Kembangan yang dahulu dikenali sebagai Serdang pernah disenaraikan sebagai antara bandar paling bahagia di dunia berada di kedudukan ke-166, berbanding Kuala Lumpur di tangga ke-188 dalam satu penarafan antarabangsa.

“Saya mahu bila orang sebut Malaysia, mereka terus teringat Seri Kembangan,” ujar Wong.

Maskot ‘Bling Bling’ simbol keceriaan Seri Kembangan

Dalam usaha mempromosikan pelancongan tempatan, Wong memperkenalkan maskot rasmi Seri Kembangan yang dinamakan ‘Bling Bling’ iaitu satu bentuk bintang kuning comel yang diinspirasikan daripada buah belimbing, hasil pertanian terkenal di kawasan tersebut suatu ketika dahulu.

“Kami mahu sesuatu yang mewakili identiti tempatan dan mudah diingati. Bling Bling melambangkan keceriaan, keunikan dan sifat mesra masyarakat Seri Kembangan,” katanya.

“Saya mahu Bling Bling menjadi simbol kebanggaan komuniti, bukan sekadar ikon tetapi tanda bahawa Seri Kembangan ialah tempat yang bahagia dan mesra untuk semua,” ujarnya.

Maskot itu diperkenalkan menerusi Karnival Bling Bling di The Mines pada 19 dan 20 Julai lalu yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan, pameran, makanan dan kraftangan.

Wong berharap Bling Bling akan menjadi ikon kekal yang mewakili Seri Kembangan, sama seperti maskot bandar di Jepun yang menjadi daya tarikan pelancong.

Muzium Cina Malaysia tawar pengalaman 4D interaktif

Antara tarikan utama di kawasan ini ialah Muzium Cina Malaysia yang menawarkan pengalaman berbeza berbanding muzium tradisional, bersifat interaktif, berteknologi dan sesuai untuk semua peringkat usia.

“Ia bukan hanya tempat belajar, tetapi tempat untuk merasai sejarah.

“Dulu saya bukan peminat muzium tapi muzium ini lain. Ada replika cantik, bunyi ombak, kesan letupan dan suasana yang buat kita rasa seperti berada dalam zaman sebenar,” kata Wong.

Muzium Cina Malaysia di Seri Kembangan pada 3 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Muzium tersebut menampilkan pelbagai segmen termasuk pelayaran Laksamana Cheng Ho, era penjajahan Jepun dan kehidupan masyarakat Cina awal di Tanah Melayu.

Beliau menyifatkan muzium itu bukan sahaja tempat pembelajaran sejarah tetapi juga lokasi yang menggabungkan hiburan dan pendidikan dalam satu pengalaman 4D.

Dengan kombinasi antara tarikan sejarah, budaya dan ikon pelancongan baharu seperti Bling Bling, Seri Kembangan semakin menonjol sebagai destinasi yang bukan sekadar indah dipandang tetapi juga membahagiakan untuk dilawati.

Ia seiring hasrat menjadikan Selangor destinasi utama dalam Tahun Melawat Selangor 2025.