ad

Pelancongan lestari: Fenomena sementara atau manfaat jangka panjang?

26 Sep 2025, 10:26 AM
Pelancongan lestari: Fenomena sementara atau manfaat jangka panjang?
Pelancongan lestari: Fenomena sementara atau manfaat jangka panjang?
Pelancongan lestari: Fenomena sementara atau manfaat jangka panjang?
Pelancongan lestari: Fenomena sementara atau manfaat jangka panjang?
Pelancongan lestari: Fenomena sementara atau manfaat jangka panjang?

Oleh Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor

Setiap tahun pada 27 September, Hari Pelancongan Sedunia menjadi peringatan tentang peranan penting industri pelancongan dalam membentuk ekonomi, masyarakat dan budaya. Tema tahun ini, “Pelancongan dan Transformasi Mampan”, mengajak kita melihat semula maksud pertumbuhan pelancongan, bukan sekadar melalui peningkatan angka kedatangan pelancong, tetapi juga dengan memastikan manfaatnya berkekalan serta dinikmati secara adil oleh semua pihak.

Pelancongan sentiasa membawa makna lebih daripada sekadar sebuah perjalanan; ia menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, jambatan pertukaran budaya serta penghubung dunia. Namun, seiring perkembangan industri ini, persoalan mengenai kesan yang ditinggalkan turut muncul. Di sebalik limpahan peluang pendapatan dan pekerjaan, isu kelestarian alam sekitar, pemeliharaan budaya serta fenomena pelancongan berlebihan semakin meraih perhatian global. Bagi Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya dan keindahan alam semula jadi, isu ini amat dekat di hati kita.

Sebagai hab ekonomi utama Malaysia, Negeri Selangor berada di barisan hadapan dalam membicarakan isu ini. Dengan sasaran 8 juta kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), negeri ini bersiap sedia untuk mencatat pertumbuhan pelancongan yang lebih pesat. Namun, kemajuan ini perlu diurus secara berhemah. Tanpa perancangan yang teliti, limpahan pelancong berpotensi memberi tekanan kepada sumber, menjejaskan kesejahteraan komuniti tempatan, serta mengorbankan khazanah budaya dan alam semula jadi yang menjadi identiti unik Negeri Selangor.

Pendekatan Holistik ke Arah Pelancongan Lestari

Kelestarian bukan sekadar soal memelihara alam sekitar, tetapi turut merangkumi ketahanan ekonomi dan kesejahteraan komuniti. Cabaran sebenar terletak pada usaha membangunkan model pelancongan yang mampu memberi manfaat jangka panjang, bukan hanya projek singkat yang meninggalkan impak minimum.

Di Selangor, pelancongan berasaskan pengalaman dan komuniti menjadi tonggak penting dalam usaha transformasi ini. Tarikan inap desa seperti Nazbell Cottage & Garden dan Homestay Haji Dorani membuka ruang kepada pelancong untuk merasai sendiri kehidupan desa yang autentik  seperti aktiviti sawah padi hinggalah menyertai aktiviti kebudayaan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi peluang pendapatan kepada usahawan kecil, malah memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan dan tradisi tempatan.

Namun, kejayaan model sebegini bergantung pada keseimbangan. Tourism Selangor komited memastikan jumlah pelawat diurus secara terkawal agar komuniti tempatan terus diberdayakan tanpa rasa terbeban, sementara tradisi dan budaya diraikan dengan baik, bukan dikomersialkan secara berlebihan.

Memelihara Warisan Melalui Pelancongan Lestari

Selangor juga kaya dengan daerah bersejarah seperti Gombak dan Hulu Langat, yang menempatkan mercu tanda penting termasuk Batu Arang, Batu Caves dan tapak warisan Kajang. Khazanah ini memerlukan pendekatan pemeliharaan yang bijaksana. Justeru, komuniti tempatan yang dilatih sebagai Geopark Champions kini memainkan peranan sebagai pemandu pelancong, dengan penceritaan autentik yang bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelawat, malah membantu meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar.

Geopark Gombak-Hulu Langat pula menjadi contoh terbaik keseimbangan tersebut, menggabungkan keunikan geologi, biodiversiti dan warisan budaya dalam satu perjalanan berpengetahuan. Langkah seperti lawatan berpandu, kawalan had jumlah pengunjung, serta amalan konservasi dilaksanakan bagi mengelakkan isu pelancongan berlebihan. Usaha ini memperlihatkan komitmen Tourism Selangor untuk memastikan generasi masa depan terus dapat menikmati serta mempelajari nilai istimewa kawasan ini.

Tahun Melawat Selangor 2025

Sempena Tahun Melawat Selangor 2025, setiap strategi digerakkan dengan visi bahawa pertumbuhan pelancongan dan kelestarian harus bergerak seiring. Usaha ini bukan sekadar untuk menarik jutaan pengunjung, tetapi juga bagi memastikan identiti dan budaya terus terpelihara, komuniti semakin berdaya tahan, dan alam sekitar kekal terjaga.

Dalam jangka panjang, masa depan pelancongan di Selangor dan Malaysia bergantung kepada sejauh mana kita mampu menerima transformasi lestari. Ia bukan lagi sekadar trend sementara, sebaliknya satu-satunya jalan ke hadapan untuk membina industri pelancongan yang progresif, bertanggungjawab, dan mampan.

Hari ini, kelestarian bukan lagi pilihan tetapi ia adalah asas kepada masa depan pelancongan. Dan di Selangor, kami komited untuk memastikan masa depan ini adalah sebuah perjalanan di mana manusia, budaya dan alam semula jadi terus berkembang bersama-sama.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.