ad

Keindahan kampung, budaya tradisi rancak pelancongan desa, lonjak ekonomi penduduk

9 Nov 2025, 4:00 AM
Keindahan kampung, budaya tradisi rancak pelancongan desa, lonjak ekonomi penduduk
Keindahan kampung, budaya tradisi rancak pelancongan desa, lonjak ekonomi penduduk
Keindahan kampung, budaya tradisi rancak pelancongan desa, lonjak ekonomi penduduk
Keindahan kampung, budaya tradisi rancak pelancongan desa, lonjak ekonomi penduduk
Keindahan kampung, budaya tradisi rancak pelancongan desa, lonjak ekonomi penduduk

SHAH ALAM, 9 NOV: Di anjung utara Selangor, keindahan sawah padi khususnya di Sungai Besar bukan sekadar memukau pandangan, tetapi turut membuka peluang baharu kepada penduduk desa untuk menjana rezeki melalui pelancongan berasaskan kampung.

Di sebalik panorama hijau yang tenang itu, tersimpan kisah kejayaan penduduk tempatan yang memanfaatkan potensi pelancongan desa sebagai sumber pendapatan dan penggerak ekonomi setempat.

Menjadi kawasan penanaman padi terbesar di Selangor dan kedua terbesar di Malaysia, Sungai Besar di Sabak Bernam kini bukan hanya sinonim dengan hasil padi tetapi turut muncul sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti yang semakin mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara.

Pemandangan sekitar Parit 4 Tambahan Sungai Besar, Selangor pada 4 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Keindahan suasana kampung, budaya tradisi dan keramahan penduduk menjadi tarikan utama yang menghidupkan ekonomi setempat.

Penduduk yang dahulunya hanya bergantung kepada hasil sawah kini menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan keusahawanan kecil seperti makanan tradisional, kraf tangan serta perkhidmatan inap desa.

Pengusaha rumah inap tempatan Fairul Nazz Ibrahim, 51, berkata, pelancongan desa bukan sekadar memperkenalkan keindahan sawah padi tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk.

"Masyarakat Jawa dan Banjar di sekitar Sabak Bernam kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil padi. Ramai mula menghasilkan kuih dan biskut tradisional untuk dijual kepada pelancong. Kami turut membantu memasarkan kuih itu melalui rumah inap," ujarnya.

Fairul Nazz Ibrahim, 51, pengusaha rumah inap Annaz Cottage ketika ditemui pada 4 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Rumah inap kini berperanan sebagai pusat pengumpulan dan jualan produk kampung serta menjadi platform penting memperkenalkan hasil tangan masyarakat setempat kepada pelancong luar.

Selain itu, aktiviti seni dan budaya seperti silat, kompang, anyaman mengkuang dan batik lukis turut dihidupkan semula bagi menambah daya tarikan kepada pengunjung.

"Contohnya, terendak atau topi sawah yang dulu hanya dijual murah kepada penduduk kini mampu dijual tiga hingga empat kali ganda kepada pelancong.

"Selain hasil kraf, setiap acara atau program pelancongan memberi upah kepada penduduk terlibat sekali gus menambah sumber pendapatan mereka," katanya.

Pasar Palung nadi ekonomi baharu penduduk

Berkongsi lanjut, Fairul Nazz berkata setiap Sabtu petang, penduduk menganjurkan Pasar Palung, pasar budaya mini yang menampilkan hasil seni, pakaian tradisional dan aneka juadah kampung.

"Dalam tempoh dua hingga tiga jam berniaga, satu gerai mampu meraih antara RM600 hingga RM800, jumlah yang jauh melebihi hasil sawah yang memakan masa berbulan untuk dituai. Hanya dengan dua hingga tiga jam berniaga. Jadi kalau seminggu sekali pun, sudah mampu menampung belanja rumah," ujarnya.

Fairul Nazz yang mengusahakan rumah inap Annaz Cottage berkata, sambutan pelancong asing meningkat lebih 50 peratus sejak promosi pelancongan berasaskan komuniti digiatkan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

"Pada 2023 kebanyakan pengunjung adalah pelancong tempatan dari Kuala Lumpur dan Selangor. Namun sejak 2024, selepas Tourism Selangor dan Tourism Malaysia melaksanakan beberapa program promosi serta lawatan familiarisasi, jumlah pelancong asing meningkat ketara.

"Sehingga September tahun ini, pelancong luar negeri sudah melebihi pelancong tempatan," katanya.

Pelancong Indonesia menikmati kelapa pandan di Parit 4 Tambahan Sungai Besar, Selangor pada 4 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Usahawan desa raih pendapatan tambahan

Sementara itu, usahawan desa Norleha Saderi, 40, turut berkongsi apabila berjaya meraih pendapatan tambahan hingga RM1,000 sebulan hasil jualan kuih kelapa kepada pelancong.

"Keunikan rasa kuih tradisional menjadi tarikan utama. Pelancongan desa bukan sahaja menghidupkan warisan nenek moyang tetapi turut membantu kami menjana rezeki secara berterusan," ujar pemilik Faleayna Entreprise itu.

Norleha berharap pelancongan berasaskan komuniti dapat terus diperkasa kerana ia bukan sahaja membuka peluang perniagaan baharu, malah menggalakkan lebih ramai belia desa menceburi bidang keusahawanan.

"Alhamdulillah, hasil jualan produk kepada pengunjung homestay dapat menambah pendapatan sedia ada. Saya berharap industri pelancongan desa terus berkembang supaya ekonomi penduduk luar bandar dapat diperkukuh dan mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar.

"Kempen Tahun Melawat Selangor juga banyak membantu merancakkan sektor ini apabila lebih ramai pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Sabak Bernam sekali gus memperkenalkan keunikan produk desa kepada masyarakat luar," ujarnya.

Pendapatan sampingan cecah RM1,500 sebulan

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit 8 Timur, Mohamad Azizol Fitri Satibi, 32, berkata, pelancongan berasaskan komuniti memberi limpahan rezeki kepada penduduk apabila semakin ramai memperoleh pendapatan tambahan hasil jualan produk kampung kepada pelancong.

Beliau sendiri mampu meraih sehingga RM1,500 sebulan melalui jualan sagon yang dipasarkan kepada pelancong menerusi program inap desa.

"Setiap bulan kami hantar sekitar 150 hingga 200 balang sagon. Rumah inap menjadi medium terbaik memperkenalkan produk tempatan. Bila pelancong datang, mereka bukan sahaja menikmati suasana kampung tetapi turut membeli hasil tangan masyarakat sini," katanya.

Mohamad Azizol menambah, konsep pelancongan komuniti wajar diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar di Selangor kerana potensinya besar dalam menjana ekonomi penduduk.

"Saya sangat menggalakkan penduduk menceburi perniagaan berasaskan komuniti ini kerana kita tidak tahu, mungkin ada dalam kalangan penginap terdiri daripada wakil agensi yang boleh membantu memasarkan produk tempatan.

"Homestay biasanya menerima ramai pengunjung pada hujung minggu dan cuti umum. Contohnya di Annaz Cottage, apabila satu bas pelancong tiba, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka pasti membeli produk tempatan kami.

"Alhamdulillah, permintaan sentiasa ada dan ini membuktikan pelancongan desa berpotensi menjadi sumber ekonomi bagi penduduk luar bandar," jelasnya yang sudah dua tahun memasarkan produk Sagon Warisan Bonda ke homestay sekitar kawasan itu.

Berdasarkan data terkini dikongsikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia, terdapat 236 rumah inap desa berdaftar di Selangor bagi tempoh hingga Julai tahun ini.

Pelancong Indonesia melukis batik  di Parit 4 Tambahan Sungai Besar Selangor pada 4 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR