SUBANG JAYA, 22 NOV: Hampir 100,000 peniaga berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) setakat ini untuk mengembangkan perniagaan dan meluaskan capaian pasaran.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai skim bantuan seperti Dana Usahawan Madani Selangor (DOMS), Hijrah Selangor dan program baharu Skim AgroPLATS Biaya Plus-i akan terus mengukuhkan usahawan melalui akses pembiayaan.
Beliau turut mengimbas bagaimana PLATS, yang lahir sebagai inisiatif segera ketika pandemik Covid-19, kini berkembang pesat dan menjadi antara program paling berjaya di negeri itu.
“PLATS bermula sewaktu Ramadan ketika kita tidak ada ruang fizikal akibat PKP. Kita laksanakan jualan atas talian dan dari situ ia berkembang.
“Hari ini, PLATS bukan sahaja mempromosi dan menyenaraikan peserta, malah membentuk sebuah komuniti besar yang kini menghampiri 100,000 penjaja dan usahawan mikro di seluruh Selangor berbanding hanya sekitar 500 ketika dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Selangor 2025 di Tapak Penjaja The Roundabout@Putra Heights di sini malam tadi.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri menyedari pendanaan bukan satu-satunya faktor kejayaan usahawan kecil. Sebaliknya, penguasaan ilmu, jaringan perniagaan serta penggunaan teknologi adalah pemangkin sebenar untuk melonjakkan jualan dan produktiviti.
“Transformasi digital bukan hanya soal guna alat. Ia tentang bagaimana teknologi mampu meningkatkan kualiti jualan, penghasilan dan perkhidmatan.
“Itulah rangka besar Kerajaan Negeri, dan tahun hadapan kita tidak akan lupakan penjaja dalam pelaksanaan Dasar Speed Selangor,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim, berkata penganjuran sambutan di tapak penjaja itu bertujuan menghargai sumbangan penjaja dan peniaga kecil yang menjadi pemacu penting ekonomi negeri.
“Sambutan ini mengiktiraf peranan penjaja dan peniaga kecil dalam membina ekonomi yang inklusif. Ia juga memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti peniaga,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa program itu turut berperanan mempromosikan skim bantuan, pembiayaan dan latihan keusahawanan serta mendorong golongan peniaga mengadaptasi inovasi dan teknologi dalam perniagaan.
“Kita mahu penjaja dan peniaga kecil bukan sahaja bertahan, tetapi terus bersaing dan berkembang seiring perubahan ekonomi,” katanya lagi.








