Selangor perketat kawalan vape, dasar baharu sedang dirangka

21 Nov 2025, 7:01 AM
Selangor perketat kawalan vape, dasar baharu sedang dirangka
Selangor perketat kawalan vape, dasar baharu sedang dirangka

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri sedang merangka kertas kerja dasar bagi menetapkan hala tuju pengawalseliaan produk rokok elektronik atau vape, termasuk pelaksanaan kempen larangan penggunaannya.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata dasar tersebut akan digubal secara menyeluruh dan selaras dengan pendekatan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).

“Menerusi dasar ini, kita akan mengambil kira realiti semasa pasaran, kesan terhadap kesihatan awam serta keperluan memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama antara agensi negeri dan persekutuan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, bagi membincangkan pelaksanaan kempen larangan penggunaan vape.

“Setakat ini, penurunan papan tanda iklan dan promosi berkaitan vape telah dilaksanakan secara berperingkat di premis-premis seluruh negeri,” katanya ketika menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran, Leong Tuck Chee pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, Jamaliah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri merancang melaksanakan program kesedaran dan advokasi lebih bersasar, khususnya kepada golongan belia, bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan kesan buruk penggunaan vape.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sedang mempergiat pemasangan bumbung solar di bangunan jabatan dan agensi, termasuk milikan PBT seperti dewan, stadium, gerai, surau dan masjid.

“Setakat ini, sebanyak 28 bangunan dan premis PBT telah melaksanakan pemasangan bumbung solar, antaranya bangunan pejabat daerah dan tanah, terminal bas, dan pusat kitar semula.

“Langkah ini adalah sebahagian usaha meningkatkan peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon,” katanya.

Pada September, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penjualan rokok elektronik atau vape akan diharamkan sepenuhnya sebagai usaha membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Beliau berkata langkah itu dilaksana secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape.

Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan kos rawatan penyakit berkaitan penggunaan produk vape meningkat kepada RM369 juta menjelang 2030, jika kadar penggunaannya kekal pada tahap semasa.