ad

NGO gesa kerajaan gubal kod etika segera bendung lobi industri tembakau

28 Sep 2025, 1:29 AM
NGO gesa kerajaan gubal kod etika segera bendung lobi industri tembakau
NGO gesa kerajaan gubal kod etika segera bendung lobi industri tembakau

SHAH ALAM, 28 Sept: Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) mendesak kerajaan menggubal serta menguatkuasakan Kod Etika Nasional bagi penjawat awam berurusan dengan industri tembakau.

Presidennya, Roslizawati Md Ali berkata langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi menutup ruang campur tangan syarikat tembakau dan proksi mereka yang semakin berleluasa dalam dasar kesihatan awam negara.

“Industri tembakau licik. Mereka menyamarkan campur tangan sebagai kerjasama, pengaruh sebagai jemputan, dan penangguhan sebagai kebijaksanaan. Jika penyamaran itu tidak dicabar, visi kesihatan awam kita akan runtuh dari dalam.

“Kod Etika ini mesti jelas – larangan hadiah, tajaan, atau sumbangan daripada syarikat tembakau dan vape, kewajipan mendedahkan rekod mesyuarat secara terbuka, perlindungan pemberi maklumat, serta hukuman tegas atas pelanggaran,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan selepas pelancaran Indeks Pengaruh (Campur Tangan) Industri Tembakau Malaysia 2025 (MTIII-2025) di ibu negara, semalam.

Laporan MTIII-2025 mendedahkan Malaysia kini mencatat skor 77 dalam indeks campur tangan industri, meningkat berbanding 66 pada 2021 dan 76 pada 2023. Skor lebih tinggi menunjukkan tahap pengaruh syarikat tembakau semakin membimbangkan.

Antara isu dikenal pasti termasuk amalan “revolving door” melibatkan bekas pegawai kerajaan dilantik sebagai perunding syarikat tembakau, kelemahan mekanisme pengawasan, serta penggunaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai helah mendapatkan legitimasi sosial.

Menurut Roslizawati, tanpa tindakan segera, integriti dasar kawalan tembakau akan terus melemah dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa tercemar.

“MyWATCH mahu semua interaksi dengan pihak industri direkod, dilapor tepat pada masanya, dan terhad kepada tujuan pengawasan sahaja, bukan penggubalan dasar.

“Agensi kerajaan juga tidak boleh menerima dana atau tajaan daripada industri. Malah bekas penjawat awam wajar dilarang menyertai syarikat tembakau atau vape dalam tempoh tertentu,” tegasnya

Beliau turut menyeru agar masyarakat sivil diberi sokongan padu melalui dana pemantauan bebas, siasatan media, dan saluran selamat untuk melaporkan campur tangan pihak industri.

“Masanya sudah tiba. Mari kita bangkit bersama, rebut kembali tadbir urus daripada campur tangan, dan serahkan masa depan yang lebih sihat kepada anak-anak serta negara,” katanya.

Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kadar merokok rakyat Malaysia masih membimbangkan, terutama vape yang meningkat daripada 4.9 peratus pada 2019 kepada 5.8 peratus (2023).

Sebelum ini, menteri kesihatan dilaporkan berkata kerajaan persekutuan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ia akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape meliputi keseluruhan produk.

Sementara itu, Kerajaan Selangor sudah mengarahkan semua pengusaha menurunkan papan tanda iklan dan promosi berkaitan produk rokok elektronik atau vape sebelum hujung tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diarahkan mengeluarkan notis kepada peniaga untuk menurunkan iklan secara sukarela.

“Setakat ini kita sudah arahkan PBT memantau perkara ini. Jika sehingga hujung tahun pengusaha masih berdegil, tindakan lebih tegas akan dikenakan. Dalam masa terdekat kita juga akan berbincang dengan semua PBT,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.