Premis barangan lusuh tanpa lesen ditutup, warga asing ditahan

21 Nov 2025, 3:15 AM
Premis barangan lusuh tanpa lesen ditutup, warga asing ditahan

SHAH ALAM, 21 NOV: Sebuah premis barangan lusuh dan melerai besi yang beroperasi tanpa lesen diserbu Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam operasi bersepadu di Telok Panglima Garang, kelmarin.

Operasi bermula jam 3.42 petang di Jalan Telok Mengkuang itu disertai tujuh anggota penguat kuasa MPKL bersama pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut MPKL, pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan barangan lusuh dan melerai besi tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Peralatan dan barangan yang digunakan di premis tersebut turut disita. Foto Facebook MPKL

Susulan itu, tindakan sitaan dilakukan terhadap peralatan serta barangan yang digunakan, selain premis diarah tutup serta-merta.

Dalam operasi sama, seorang warga asing yang berada di lokasi ditahan untuk siasatan lanjut berkaitan aktiviti tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil 3 dan Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007 yang menetapkan larangan menjalankan perniagaan barangan lusuh atau melerai besi tanpa lesen sah,” menurut MPKL.

MPKL menegaskan pihaknya komited memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras premis tidak berlesen yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.