Imigresen gempur Cameron Highlands, lebih 460 warga asing ditahan

21 Nov 2025, 1:40 AM
Imigresen gempur Cameron Highlands, lebih 460 warga asing ditahan
Imigresen gempur Cameron Highlands, lebih 460 warga asing ditahan
Imigresen gempur Cameron Highlands, lebih 460 warga asing ditahan
Imigresen gempur Cameron Highlands, lebih 460 warga asing ditahan
Imigresen gempur Cameron Highlands, lebih 460 warga asing ditahan

CAMERON HIGHLANDS, 21 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 468 orang warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen, dalam OPS Gempur melibatkan beberapa serbuan di sini.

Serbuan melibatkan 547 anggota dan pegawai imigresen itu dijalankan 11 pagi sehingga 2 petang di empat zon di sekitar tanah tinggi berkenaan melibatkan kawasan perniagaan, kawasan pembinaan dan ladang sayur.

Bernama yang turut serta dalam operasi itu mendapati, kebanyakan warga asing tersebut sedang tekun bekerja termasuk membungkus sayuran, sehingga tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan itu, dirancang sejak sebulan lepas susulan aduan daripada masyarakat di sini.

“Melalui risikan yang dijalankan, kami dapati daerah ini telah menjadi tumpuan warga asing untuk bekerja selain terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan sekitar,” katanya.

Zakaria berkata kebanjiran warga asing di tanah tinggi itu, mula dikesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

Beliau berkata bentuk muka bumi kawasan itu yang berbukit dan jauh dari bandar, menyebabkan warga asing memilih untuk datang ke kawasan peranginan itu, diburukkan lagi dengan sikap pemilik perniagaan warga yang gemar untuk menggajikan mereka.

Zakaria berkata sebanyak 1,886 warga asing diperiksa, dengan 468 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya pas tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan, malah ada juga mengemukakan pas lawatan kerja sementara yang disyaki palsu.

“Warga asing yang ditahan melibatkan 175 warga Myanmar, Bangladesh (174), Indonesia (67), Nepal (20), Pakistan (16), India (11) dan masing-masing seorang dari Filipina, Thailand, Sri Lanka, China dan Kemboja dengan 388 lelaki, 76 wanita serta empat kanak-kanak,” katanya.

Zakaria berkata semua ditahan berusia antara 20 hingga 54 tahun dan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Kelantan, Perak dan Selangor.

Beliau berkata statistik tangkapan, sejak awal tahun ini sehingga 18 Nov lepas, seramai 83,994 warga asing ditahan di seluruh negara dalam usaha jabatan berkenaan memerangi  isu pendatang tanpa izin.

-- BERNAMA