ad

UNICEF iktiraf inisiatif MBPJ tubuh Majlis Kanak-Kanak PJ

21 Nov 2025, 12:06 AM
UNICEF iktiraf inisiatif MBPJ tubuh Majlis Kanak-Kanak PJ

PETALING JAYA, 20 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperkukuh imej sebagai bandar mesra kanak-kanak melalui penubuhan Majlis Kanak-Kanak PJ, satu-satunya inisiatif seumpamanya oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia.

Datuk Bandarnya, Zahri Samingon berkata Majlis Kanak-Kanak PJ yang dianggotai 30 kanak-kanak pelbagai kaum diberi pendedahan dalam aspek kewangan, pengurusan dan pentadbiran, selain dilibatkan secara aktif dalam proses pembuatan dasar.

“Penglibatan ini turut diambil kira pihak sekolah sebagai mata tambahan, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi yang lebih baik,” katanya pada sidang media Petaling Jaya International Child Friendly Cities Expo 2025 yang berlangsung di Hotel Hilton hari ini.

Sementara itu, Wakil UNICEF Malaysia, Robert Gass menegaskan kepimpinan Datuk Bandar serta Majlis Kanak-Kanak memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak kanak-kanak.

Beliau berkata inisiatif MBPJ itu memberi peluang kepada bandar di seluruh Malaysia dan rantau ini untuk saling belajar, seterusnya menggalakkan usaha menjadi bandar mesra kanak-kanak.

“Apabila kita mendengar suara kanak-kanak, barulah kita dapat menggembleng kuasa tadbir urus kerajaan. Kanak-kanak juga menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam membentuk negara yang lebih mesra kanak-kanak,” ujarnya.