Di sebalik petikan gitar dan gesekan biola, tersimpan kisah kasih enam beradik yang menggelarkan diri mereka The Siblings Band.
Mereka bukan sekadar bermain muzik, tetapi menjadikan setiap melodi sebagai lambang kebersamaan dan warisan seni yang menyatukan mereka sejak kecil.
Perjalanan muzik mereka bermula tanpa disangka. Pada 2011 keluarga ini berpindah dari Kelantan ke Melaka, dan di sekolah baharunya, Aimi Najihah atau mesra disapa Jia mula menggesek biola.
Di sisi Jia ialah kembarnya, Aimi Nabihah atau Bea turut menyemai benih minat sama. Dari dua jiwa kembar itu, semangat muzik menular kepada empat adik-beradik lain, membuka pintu kepada dunia baharu yang akhirnya mengubah takdir keluarga mereka.
“Abah gantung biola dan gitar di dinding, tapi dulu kami tak berani sentuh. Bila pindah ke Melaka, baru kami cuba. Dari situlah semuanya bermula,” kata Jia mengenang saat awal perjalanan muzik mereka.
Bakat seni ini bukan datang tiba-tiba. Bapanya gemar berzanji dan mempunyai kawalan suara yang baik, manakala ibunya pula cucu kepada komposer terkenal Singapura, Ali Samson.
Darah seni yang mengalir ini menjadikan keenam-enam beradik itu unik, setiap persembahan mereka hadir dengan gabungan genre moden dan tradisional yang mencipta nuansa tersendiri.
Berhenti kerja
Namun, di sebalik kejayaan, terselit pengorbanan yang besar. Ketika undangan persembahan semakin banyak, ibu bapa mereka sanggup berhenti kerja untuk memberi tumpuan penuh kepada anak-anak.
Tegas tetapi penuh kasih, cara didikan mereka membentuk The Siblings menjadi keluarga yang berdisiplin dan kuat semangat.
“Dulu abah dan mama kerja siang malam. Kami jarang dapat perhatian. Bila mereka berhenti untuk tumpu pada kami, hidup rasa lengkap.
"Itu merupakan satu rezeki terbesar,” ujar Bea menahan sebak dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.
Jia dan Bea bukan sekadar kembar seiras, tetapi juga saling memahami di pentas. Seorang menggesek biola, seorang lagi menguruskan produksi.
“Kalau seorang buat silap, yang seorang lagi automatik rasa dan ikut,” kata Jia sambil tertawa kecil menggambarkan hubungan yang erat dan jujur.
Kejayaan mereka bukan diukur pada siapa yang menonjol, tetapi pada kekuatan kolektif.
“Kami tak kejar populariti. Kami main muzik untuk kepuasan dan keluarga. Kalau orang lain terinspirasi, itu bonus,” kata Bea penuh rendah hati.
Selepas lebih sedekad berkarya, The Siblings kekal berpegang pada identiti menyulam tradisi dalam arus moden.
Lagu seperti Keroncong Kemayoran memperkenalkan mereka kepada generasi baharu, manakala irama Latin dan keroncong kontemporari memperlihatkan kematangan muzik mereka.
Bagi Jia dan Bea, The Siblings bukan sekadar kumpulan muzik, tetapi ruang kasih yang membesarkan mereka - wadah keberkatan yang menyatukan adik-beradik.
"Yang penting hubungan ini kekal. Muzik hanya alat, tapi keluarga itu jiwa,” kata Bea dengan penuh makna.
Setiap persembahan mereka membawa roh kasih enam beradik yang belajar untuk saling menegur dan menyokong.
Pesan bapa tidak pernah hilang daripada ingatan tinggalkan ilmu, bukan harta dan prinsip yang mereka bawa dalam setiap langkah.
Seperti irama yang tidak pernah mati, mereka mengharapkan muncul generasi baharu menyambung legasi keluarga ini.
“Siapa tahu, mungkin lahir The Niblings pula,” gurau Bea, senyumannya mengakhiri cerita yang seindah lagunya.




