Seni daripada kaca mata Islam memerlukan keluasan pandang, ketelitian fikah serta kefahaman terhadap maqasid syariah.
Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi tamadun lengkap yang membentuk rasa, akal, budaya, kreativiti dan peradaban.
Maka seni yang diurus dengan adab dan nilai, boleh menjadi jambatan kepada tauhid, kemanusiaan dan ihsan. Seni bukan musuh agama; malah ia pernah menjadi sayap yang mengangkat dunia Islam ke puncak keindahan tamadun.
Khat atau seni tulisan Arab, misalnya, menjadi simbol kemuliaan ilmu dan wahyu. Dalam tradisi Islam, khat bukan sekadar hiasan dinding tetapi medium yang memuliakan al-Quran.
Sejak zaman Uthman ibn Affan, para penulis mushaf menulis dengan penuh adab, ketelitian dan tazkiyah jiwa. Keindahan khat mengingatkan manusia bahawa wahyu bukan hanya benar dari segi makna, tetapi indah pada bentuknya.
Ia mendidik kesabaran, fokus, ketenangan emosi dan kecintaan terhadap ilmu. Khat menjadi seni yang menyatukan jiwa dan akal; ibadah jika diniatkan untuk memuliakan kalam Allah.
Muzik pula lebih kompleks dalam wacana fikah. Para ulama berbeza pandangan kerana konteks, instrumen, lirik dan kesan psikologi berbeza pada setiap masyarakat.

Namun, majoriti ulama membenarkan muzik yang membawa ketenangan, nilai moral, patriotisme, cinta keluarga, penghargaan terhadap alam dan zikir kepada Allah.
Islam tidak menolak keindahan suara. Ekoran itu, ada konsep bilal yang melaungkan azan digalakkan kepada yang punyai suara merdu.
Demikian juga dalam tradisi ilmuan muslim, terdapat konsep qasidah, syair sufi, nasyid yang mengalunkan lafaz selawat dan taranum al-Quran. Ia menjadi bukti suara manusia adalah anugerah yang dimanfaatkan dalam melunakkan perasaan dan emosi.
Persoalannya bukan “muzik halal atau haram” tetapi “apakah ia membawa kepada takwa atau kelalaian?” Maka seni muzik dalam Islam harus berfungsi sebagai tazkirah, bukan hiburan kosong.
Apatah lagi, kupasan berkenaan pengharaman muzik, semuanya berasaskan kepada faktor kelalaian. Justeru, jika ia tidak membawa kepada kelalaian, malah melahirkan kelunakan hati dan ketenangan emosi, ia tidak termasuk dalam maksud larangan.
Ekoran itu, tidak terlarang alunan muzik yang mengandungi pujian kepada Allah, selawat kepada Nabi, serta kalam yang diiringi muzik yang dapat membangkitkan semangat mengangkat kalimah Allah.
Dalam dunia intelektual pula, penulisan kreatif dianggap sebagai wasilah dakwah, pengajaran dan pembinaan jiwa.
Sejak abad ke-8, ulama menulis kisah, alegori dan satira untuk menegur masyarakat, seperti Ibn Tufayl, Ibn al-Muqaffa’, al-Jahiz dan Jalaluddin Rumi.
Di Tanah Melayu pun, terdapat kitab Munyatul Musalli karya Syaikh Daud al-Fatani yang pada bahagian akhir kitab, ada bab yang memberikan kupasan berkenaan cara teguran makmum kepada imam solat berjemaah yang disertai penjelasan berkenaan kesalahan pemerintah yang perlu diperbaiki.
Cerita membantu manusia memahami kebenaran melalui bahasa emosi. Al-Quran pernah menampilkan bersumpah atas pena (al-Qalam) sebagai tanda menulis adalah ibadah, amanah dan warisan ilmu.

Penulisan kreatif yang beretika menanam rasa empati, membuka ruang dialog, menyembuh trauma masyarakat dan merakam sejarah kemanusiaan.
Pendidikan tamadun
Institusi muzium pula memainkan peranan penting dalam menjaga memori ummah. Ia bukan sekadar bangunan menyimpan artifak, tetapi ruang pendidikan tamadun.
Melalui muzium, generasi baharu memahami keagungan Andalusia, kegemilangan Baghdad, kecerdikan saintis Islam, nilai perpaduan serta jatuh bangunnya peradaban manusia.
Islam menekankan pentingnya mengambil ibrah daripada sejarah dan muzium menjadi medium visual yang menyampaikan hikmah. Dengan syarat dipandu naratif benar, jujur dan tidak menyelewengkan fakta.
Seni kehidupan harian seperti seni masakan, juga mempunyai tempat dalam budaya Islam. Makanan bukan hanya keperluan fizikal, tetapi ruang menyebarkan kasih, menjalin silaturahim dan merayakan ciptaan Tuhan. Nabi Muhammad SAW menggalakkan jamuan, berkongsi makanan dan menghargai rezeki.
Seni kulinari mengajar kreativiti, ketelitian, kebersihan dan kesyukuran. Selain itu, masakan warisan mengekalkan identiti budaya ummah, menghubungkan generasi dan simbol ketamadunan. Selagi halal, beradab dan tidak membazir, seni masakan adalah refleksi ihsan.
Dalam dunia moden, animasi dan permainan digital menjadi medium seni yang dominan. Sudah berlaku dalam kalangan umat Islam yang memahami kreativiti digital bukan ancaman, tetapi peluang. Animasi boleh mendidik akhlak, sejarah, sains, adab dan spiritualiti. Permainan digital pula melatih strategi, penyelesaian masalah, kerjasama dan imaginasi.
Namun ia harus bebas daripada unsur ketagihan, perjudian, seksualisasi, keganasan melampau dan propaganda yang merosakkan jiwa.
Para sarjana Islam kontemporari menekankan prinsip “seni yang membina” iaitu karya yang menambah kebaikan, bukan mengurangkan kemanusiaan. Keseluruhan bentuk seni, sama ada tradisional atau moden harus berfungsi menjaga maqasid syariah, iaitu agama, nyawa, akal, akhlak, keturunan dan harta.
Seni adalah ibadah apabila ia memuliakan nilai tersebut. Dalam Islam, keindahan bukan tujuan akhir, tetapi jalan menuju makna. Seni harus membebaskan manusia daripada kejahilan, bukan menjadikan mereka tawanan hawa nafsu.
Warisan budaya umat Islam mengajar kita tamadun tidak terbina hanya melalui pedang dan undang-undang, tetapi melalui estetika, puisi, lukisan geometri, seni bina masjid, karpet Parsi, muzik sufi, teater pendidikan dan tradisi penulisan. Seni menghidupkan ruh umat, membentuk jati diri dan memelihara maruah sejarah.
Oleh itu, seni dalam Islam bukan sekadar hiburan, tetapi amanah. Ia menuntut niat yang suci, etika yang jelas dan tujuan yang bermanfaat.
Selagi seni membimbing manusia mengenal Allah, menghargai makhluk, menyucikan hati dan membina peradaban, ia menjadi cahaya, bukan kegelapan.
Seni adalah bahasa universal, dan Islam agama keindahan. Maka kedua-duanya tidak perlu bermusuhan, kerana apabila disatukan, lahirlah tamadun yang berakal, berakhlak dan berjiwa.


