ad

Cabul anak saudara, kelindan lori dipenjara lima tahun

20 Nov 2025, 7:47 AM
Cabul anak saudara, kelindan lori dipenjara lima tahun

SHAH ALAM, 20 NOV: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap kelindan lori, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya di kebun pisang, tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin menetapkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu sejurus ia dibacakan, lapor Berita Harian.

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 10 tahun empat bulan ketika kejadian dengan cara memeluk mangsa dan menunjukkan kemaluan kepadanya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan kebun pisang Kampung Stesen 3, Nilai, pada Mei 2024.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai kelindan lori, sudah berkahwin dan menanggung lima anak tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa yang masih muda.

Beliau berkata, tertuduh yang juga bapa saudara sepatutnya melindungi mangsa dan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(b), tertuduh dikenakan hukuman penjara selama lima manakala mengikut Seksyen 15(a)(i), tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tiga yang berjalan serentak dari tarikh tangkapan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman.