Mahkamah: Warga emas mengaku salah cabul kanak-kanak 9 tahun

12 Dis 2025, 4:49 AM
Mahkamah: Warga emas mengaku salah cabul kanak-kanak 9 tahun

SHAH ALAM, 12 DIS: Lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Noor Aini Ismail, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N Kanageswari, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Desa Port Dickson, Port Dickson, 6 Disember lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan kes serius.

Mahkamah kemudiannya bersetuju dengan pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Disember untuk fakta dan hukuman.