SHAH ALAM, 23 DIS: Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap 11 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, meliwat dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap sembilan murid lelaki, pada April 2024 hingga Julai lalu.
Tertuduh, Mohamad Sulong, 52, yang masih bujang mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah, lapor Berita Harian.
Mengikut tujuh pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Beris Panchor, Tawang dekat Bachok, di bilik koperasi, bilik pengurusan sukan dan bilik makmal komputer sebuah sekolah di sini pada April 2024 hingga 1 Julai lalu.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta itu yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Dua lagi pertuduhan, Mohamad didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun di kedai koperasi sebuah sekolah di sini, kira-kira jam 9.45 pagi pertengahan 2024 dan 4.30 petang pada Julai 2024.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Lelaki itu juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun empat bulan di bilik pengurusan sukan sebuah sekolah di sini, kira-kira 5 petang pada Februari dan Mei lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah seksyen 377B KK dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana 11 pertuduhan membabitkan sembilan mangsa yang berusia lapan hingga 12 tahun.
Mohd Firdaus memohon jaminan yang munasabah dengan syarat-syarat yang ketat supaya tertuduh dapat kembali bertugas sebagai penjawat awam tanpa sebarang kekangan.
"Anak guam saya masih bujang dan sudah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun. Tertuduh juga sudah dipindahkan ke sebuah jabatan di Kota Bharu selepas menjalani tempoh reman selama 14 hari pada Julai lalu," katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM55,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.


