SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan pelan induk pembangunan sukan kanak-kanak termasuk sukan basikal tolak (pushbike), bagi memastikan bakat muda negeri terus dimanfaatkan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata usaha itu akan dibincangkan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor untuk melihat ruang membangunkan pelan sukan khusus bagi kanak-kanak.

“Sukan basikal tolak semakin berkembang di Selangor, khususnya melibatkan pelajar sekolah. Oleh itu, kita akan berbincang dengan Majlis Sukan Negeri untuk membangunkan pelan sukan kanak-kanak termasuk pushbike.
"Berhubung bantuan kepada bakat muda, saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk menaja mereka yang mengharumkan nama Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh, pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Mohd Najwan menambah, setakat ini Kerajaan Negeri belum ada perancangan khusus untuk membina trek atau kawasan latihan khas bagi acara basikal tolak.
“Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan taman awam, trek basikal dan padang yang boleh digunakan untuk aktiviti ini.
”Namun, semua keperluan dari sudut keselamatan akan dipastikan tersedia untuk setiap program penganjuran pushbike,” katanya.






