SHAH ALAM, 7 OGOS: Selangor Flood Mitigation Plan (SelFMiP) diperkenalkan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sebagai pelan induk strategik mitigasi banjir negeri bagi memperkukuh daya tahan iklim dan pengurusan bencana.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan pertahanan banjir secara menyeluruh berkenaan akan mengintegrasikan risiko iklim dalam perancangan dasar dan pembangunan daerah.
Jelasnya, menerusinya projek infrastruktur banjir yang komprehensif akan dilaksanakan, termasuk semakan pasca-pelaksanaan projek mitigasi banjir sedia ada, perluasan infrastruktur mitigasi dan pewajiban penyepaduan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam pembangunan baharu.
“Pelan induk mitigasi banjir strategik ini akan membenamkan perspektif risiko iklim dalam setiap perancangan dasar dan pembangunan daerah,” katanya ketika membentangkan Usul RS-2 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.
Selain itu, katanya Sistem Pengurusan Data Iklim Bersepadu diwujudkan bagi meningkatkan ketepatan amaran awal dan mempercepatkan tindak balas bencana.
“Sistem ini akan menyatukan data bencana, hidrologi dan geospatial merentas agensi negeri.
“Kita sedar bahawa isu banjir masih menjadi satu cabaran yang menyentuh hati rakyat. Setiap episod banjir adalah sebuah tragedi keluarga yang tidak sepatutnya berlaku jika kita merancang dan melabur dengan tepat,” katanya.
RS-2 menerusi Misi Lima: Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik menggariskan 14 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar dan daya tahan iklim dalam melindungi ekosistem serta memastikan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.
Menerusinya lima bidang keutamaan digariskan iaitu ketahanan iklim dan pengurusan bencana; pemeliharaan dan biodiversiti; teknologi hijau dan bandar rendah karbon; pengurusan sisa dan ekonomi kitaran serta keterjaminan air.
Bidang keutamaan ketahanan iklim dan pengurusan bencana menumpukan kepada pengukuhan kesediaan, kesigapan dan kapasiti penyesuaian Selangor terhadap banjir dan bencana akibat perubahan iklim.
Ia melalui penanganan cabaran peringkat sistem, penyepaduan data yang lebih baik merentas agensi, sistem amaran awal yang dimodenkan dan naik taraf infrastruktur bersasar serta memperkenalkan pelan pengurangan risiko bencana setempat bagi mengurangkan kelemahan di kawasan berisiko tinggi.







