SHAH ALAM, 20 NOV: Beberapa laluan utama di sekitar Shah Alam akan ditutup secara berperingkat sempena penganjuran Malaysia Vibe Fest (Half Marathon) 2025 pada 29 November ini.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan penutupan jalan berkenaan akan bermula pada jam 4.00 pagi hingga 11.00 pagi bagi memberi laluan kepada peserta larian bagi kategori 5 kilometer (km), 10km dan 21km.
Antara jalan yang terlibat termasuk kawasan sekitar I-City, Jalan Plumbum, Persiaran Permai, Persiaran Kayangan, Persiaran Selangor, Persiaran Damai, Persiaran Masjid, Bulatan Bestari, Seksyen 7, Seksyen 14, dan beberapa persimpangan utama lain.

MBSA menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh penutupan.
“Segala kesulitan amat dikesali dan kerjasama orang ramai amat dihargai,” menurut kenyataan itu.




