ad

Hari lelaki antarabangsa: Hindar fenomena 'dekat tetapi jauh', hidupkan komunikasi

19 Nov 2025, 2:11 PM
Hari lelaki antarabangsa: Hindar fenomena 'dekat tetapi jauh', hidupkan komunikasi

SHAH ALAM, 19 NOV: Sempena Hari Lelaki Antarabangsa hari ini, golongan terbabit disaran kembali menghidupkan komunikasi dalam keluarga dan memainkan peranan sebagai pelindung, kata EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.

Beliau berkata fenomena “keluarga dekat tapi jauh” semakin ketara apabila ahli keluarga berada dalam ruang sama tetapi tenggelam dengan peranti, hingga menjarakkan hubungan suami, isteri dan ibu bapa, anak.

“Peranan qawwam bukan soal kekerasan, tetapi tanggungjawab melindungi serta memastikan kesejahteraan ahli keluarga,” katanya memetik surah An-Nisa pada sidang media di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Anfaal menjelaskan walaupun tiada program khusus untuk lelaki, Kerajaan Negeri memperkukuh mesej kekeluargaan melalui kempen dan program bersama agensi berkaitan.

Antaranya kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Selangor pada 29 November ini di Ideal Convention Centre Selayang sempena sambutan Bulan Keluarga bertema “Bapa sebagai pelindung keluarga”.

Katanya tema itu selari dengan situasi negara yang berdepan kes buli dan tekanan mental yang membawa kepada ketegangan dalam institusi keluarga.

“Usaha membina keluarga tidak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja. Sekolah, guru dan komuniti juga perlu memainkan peranan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan semua inisiatif kerajaan negeri terbuka tanpa mengira jantina termasuk lelaki, terutama melibatkan kesihatan mental dan fizikal.

Antara inisiatif yang boleh dimanfaatkan lelaki ialah program saringan kesihatan bawah Iltizam Selangor Sihat, bantuan kaunseling komuniti serta penglibatan dalam program kesukarelawanan dan sukan di negeri ini.