ad

Wakil rakyat cadang program Selangor Saring dilaksana dua kali setahun di setiap DUN

19 Nov 2025, 9:47 AM
Wakil rakyat cadang program Selangor Saring dilaksana dua kali setahun di setiap DUN

SHAH ALAM, 19 NOV: Wakil rakyat Kota Damansara mencadangkan program Selangor Saring diadakan dua kali setahun di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding hanya sekali setahun seperti sekarang.

Izuan Kasim berkata pelaksanaan pemeriksaan kesihatan percuma dua kali setahun membolehkan penyakit serius dikesan lebih awal, seterusnya meningkatkan keberkesanan program kesihatan negeri.

“Sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk pelbagai program kesihatan termasuk saringan kesihatan. Ini membuktikan tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam membantu Kerajaan Persekutuan dari aspek kesihatan.

“Oleh itu, saya cadangkan program Selangor Saring dilaksanakan setiap enam bulan, berbanding kini perlu menunggu 10 bulan untuk saringan seterusnya.

“Melalui saringan sebelum ini, kita berjaya mengesan dua individu menghidap kanser payudara. Jika program dijalankan setiap enam bulan, lebih banyak kes dapat dikesan awal,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa RM2.5 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Selangor Saring dan Selangor Kanser, menyediakan kemudahan saringan kesihatan percuma kepada rakyat.

Beliau berkata peruntukan itu memastikan rakyat terus mendapat akses kepada saringan kesihatan percuma, termasuk penyakit tidak berjangkit, kanser, mata, mulut, telinga, serta pemeriksaan fizikal dan mulut.

Program Selangor Saring merupakan inisiatif kesihatan negeri yang menawarkan pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan penyakit pada peringkat awal.

Antara pemeriksaan yang disediakan termasuk pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing, swab serviks, ujian prostat, mammogram, pemeriksaan mata, gigi, telinga, fisioterapi, serta ujian darah okult najis imunokimia (iFOBT).

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit serius melalui pengesanan awal.