SHAH ALAM, 31 OKT: Orang ramai dipelawa menyertai program Selangor Saring yang menawarkan pelbagai pemeriksaan kesihatan secara percuma di Selgate Specialist Hospital Rawang (SSH), esok.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program bermula 9 pagi hingga 3 petang itu memberi peluang kepada penduduk sekitar Rawang menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan penyakit lebih awal.
“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program saringan kesihatan di Selgate Rawang.
“Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma bagi pemeriksaan fizikal, darah, urin, kanser, mata, gigi dan lain-lain,” katanya menerusi Facebook.
Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi SELangkah dengan empat langkah mudah iaitu:
- Muat turun aplikasi SELangkah 
- Tekan butang Selangor Saring 
- Isi borang soal selidik 
- Pilih lokasi dan tarikh program 
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian hotline Selcare 1-800-22-6600.
Program Selangor Saring merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mengesan penyakit lebih awal, khususnya kepada individu berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.




