SHAH ALAM, 19 NOV: Pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Selangor meletakkan negeri ini berada di landasan tepat untuk menjadi hab serantau industri semikonduktor.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pentadbiran negeri yakin dengan kemajuan dan perkembangan taman semikonduktor itu, terutamanya dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
“Dengan sokongan yang kami terima, saya yakin kita berada di landasan yang betul. Sudah tentu, persaingan kini sengit, jadi kita tidak boleh hanya duduk menunggu.
“Kami telah mempunyai banyak inisiatif kukuh di teman reka bentuk IC pertama dan terus merekrut lebih ramai bakat untuk taman reka bentuk IC pertama dan kedua.
“Dengan sasaran mempunyai lebih 400 jurutera reka bentuk IC menjelang akhir tahun depan, saya yakin kita berada di landasan tepat untuk menjadi hab industri semikonduktor rantau Asean,” katanya kepada media semasa pameran awam taman reka bentuk IC di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.
Taman reka bentuk IC pertama di Puchong dilancarkan secara rasmi pada Ogos 2024, manakala taman kedua di Cyberjaya dilancarkan awal bulan ini, menyediakan ruang dan fasiliti tambahan untuk syarikat reka bentuk cip, program pembangunan bakat, dan kerjasama antarabangsa.
Semasa pelancaran taman kedua pada 6 November, Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif ini akan memperkukuh lagi peranan Selangor dalam rantaian nilai semikonduktor negara.
Beliau menyifatkannya sebagai pencapaian utama dalam misi negeri untuk menjadi hab semikonduktor terkemuka di Malaysia dan pemain utama dalam ekosistem reka bentuk cip global.
Mengenai pameran hari ini, Ng berkata ia memberikan orang ramai pandangan lebih jelas tentang syarikat dan inovasi yang muncul daripada taman reka bentuk IC pertama.
“Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah mengambil inisiatif mempamerkan produk daripada syarikat yang berpusat d taman reka bentuk IC pertama untuk memberi pengenalan ringkas kepada orang ramai yang mengunjungi foyer SUK,” katanya.
Ng turut menekankan pencapaian teknologi taman itu yang semakin berkembang, termasuk cip untuk dron dan sistem kamera.
Antara teknologi yang dipamerkan adalah sistem ‘Green Lung’ Siri Verde oleh Atoz Carbon Cycle, cip ISP AI Vision oleh WyseTime, dron pandangan orang pertama (FPV), cip pengesanan fotonik Liroc, platform pengkomputeran biologi Cortical Labs, storan SSD syarikat MaiStorage, dan sistem IoT terbina dalam.





