ad

Kebakaran musnahkan 170 bangunan di selatan Jepun, seorang masih hilang

19 Nov 2025, 6:46 AM
Kebakaran musnahkan 170 bangunan di selatan Jepun, seorang masih hilang

TOKYO: Kebakaran besar telah memusnahkan lebih 170 bangunan di sebuah bandar pesisir di selatan Jepun, dengan api marak sepanjang malam dan masih belum dipadam sepenuhnya.

Menurut agensi bomba Jepun, seramai 175 penduduk dari daerah Saganoseki di bandar Oita, kira-kira 770 km barat daya Tokyo, telah dipindahkan ke pusat perlindungan kecemasan selepas kebakaran tercetus sekitar jam 5.40 petang waktu tempatan.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana melaporkan, seorang masih hilang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Rakaman udara oleh penyiar tempatan menunjukkan rumah-rumah yang musnah menjadi runtuhan serta kepulan asap tebal naik dari bandar berbukit yang menghadap pelabuhan perikanan terkenal dengan ikan kembung jenama premium Seki.

Media tempatan melaporkan, api turut merebak ke lereng hutan berdekatan.

Sebuah helikopter bomba tentera telah dihantar atas permintaan gabenor wilayah Oita, menurut Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dalam satu hantaran di X hari ini.