ad

Cegah tanah runtuh: Laksana audit cerun bagi pembangunan lereng bukit

18 Nov 2025, 8:22 AM
Cegah tanah runtuh: Laksana audit cerun bagi pembangunan lereng bukit
Cegah tanah runtuh: Laksana audit cerun bagi pembangunan lereng bukit

SHAH ALAM, 18 NOV: Wakil rakyat Lembah Jaya mencadangkan Kerajaan Negeri melaksanakan audit cerun secara tahunan bagi setiap pembangunan di lereng bukit bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata cadangan itu bertujuan memastikan setiap pembangunan tidak membebankan rakyat sekiranya berlaku kejadian buruk seperti tanah runtuh.

“Isu cerun di Bukit Antarabangsa bukan sekadar isu geoteknikal, ia turut melibatkan keselamatan rakyat dan hak untuk hidup tanpa ketakutan setiap kali hujan. Kajian menunjukkan cerun di kawasan ini mudah tepu air, tanah laterit berpori tinggi dan kadar infiltrasi meningkat semasa hujan lebat, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan.

“Oleh itu, saya cadangkan Kerajaan Negeri mewajibkan audit cerun tahunan bagi semua pembangunan di lereng bukit selain mensyaratkan laporan geoteknikal berkala untuk setiap projek baharu,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tahun lalu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya menganggarkan peruntukan kira-kira RM45 juta bagi kerja penyenggaraan kemudahan awam, termasuk dana daripada beberapa kementerian dan Kerajaan Negeri.

Dana ini digunakan untuk membaik pulih infrastruktur awam di Ampang Jayatermasuk cerun, tandas, parit, longkang, dan kiosk.

Sementara itu, wakil rakyat Sentosa Dr G Gunaraj memohon Kerajaan Negeri menyediakan prasarana lengkap untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

“Sasaran kita adalah menang besar pada SUKMA nanti, termasuk sukan kabbadi yang menyumbang pingat emas. Di DUN Sentosa, kita telah memulakan pembinaan gelanggang kabbadi.

"Sebagai bapa angkat sukan ini, kami memerlukan sokongan Kerajaan Negeri kerana setakat ini tiada gelanggang lengkap. Bantuan ini penting bagi memastikan atlet mendapat latihan optimum serta mencapai kejayaan,” katanya.