SHAH ALAM, 18 NOV: Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Langat yang diumumkan pada Belanjawan Selangor 2026 dijangka memberi perlindungan baharu yang lebih menyeluruh kepada penduduk sekitar.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Wira Johan Abd Aziz berkata kawasan yang diwakilinya mempunyai lokasi sensitif kepada risiko bencana banjir, namun kaya dengan aset semula jadi dan potensi pelancongan hijau.
“Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Langat yang melibatkan pendalaman sungai, pembinaan kolam takungan, naik taraf saliran, pembinaan benteng tebing, pemasangan pam air dan sistem amaran awal adalah sangat penting demi keselamatan rakyat.
“Lokasi kritikal seperti Kampung Sungai Serai, Batu 16, Batu 14 dan Batu 18 akan menerima perlindungan baharu yang lebih menyeluruh,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Jumaat lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM54.34 juta dalam Belanjawan Selangor 2026 bagi memperkukuh projek tebatan banjir membabitkan penambahan 17 projek baharu.
Antara lembangan sungai terlibat ialah Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan RM16.92 juta, Lembangan Sungai Langat (RM16.51 juta), Lembangan Sungai Selangor (RM5.74 juta), Lembangan Sungai Buloh (RM1 juta) serta Lembangan Sungai Bernam dan Kapar Besar RM2.8 juta.
Sementara itu, Johan meluahkan rasa teruja apabila sektor sukan menerima peruntukan RM100 juta, khusus bagi persiapan menjelang persediaan Selangor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Sebagai Bapa Angkat Sukan Silat untuk SUKMA Selangor 2026, beliau berharap peruntukan tersebut dapat dimanfaat sebaik mungkin bagi memartabatkan sukan silat serta semua kategori sukan terlibat.
“Dengan sokongan fasiliti, latihan intensif, program pembangunan bakat serta pendedahan ke pertandingan dalam dan luar negeri, saya yakin atlet silat Selangor akan terus cemerlang dan menjadi kebanggaan negeri serta negara,” katanya.
Selangor kali terakhir menjadi tuan rumah SUKMA pada 1998, di mana negeri itu muncul juara keseluruhan.




