SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 34 projek tebatan banjir bernilai RM241.6 juta di seluruh Selangor sudah pun siap setakat ini, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi musim tengkujuh.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata selain itu, 39 projek tambahan bernilai RM383.35 juta menggunakan peruntukan negeri sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat.
“Sementara itu, 18 projek tebatan banjir di bawah Kerajaan Persekutuan juga kini sedang dilaksanakan melibatkan peruntukan berjumlah RM3.462 bilion.
"Ia sekali gus melengkapkan usaha mitigasi banjir secara menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Izham turut memaklumkan Kerajaan Negeri meluluskan 127 projek langkah segera (quick win) bernilai RM27.94 juta, yang sebahagian besarnya telah disiapkan dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Katanya, projek tersebut meliputi kerja pengorekan sungai dan kolam takungan bagi mempertingkat aliran air.

“Sebanyak 50 kerja mitigasi banjir berjumlah RM14.1 juta menggunakan peruntukan pembangunan negeri turut dilaksanakan, merangkumi kerja pengukuhan dan penstabilan tebing sungai, penyelenggaraan sungai serta pantai, selain kerja penyelenggaraan rumah pam dan pintu air.
“Menjelang tengkujuh, kita mengadakan mesyuarat khas sekitar September atau Oktober persiapan banjir yang dihadiri semua pemegang taruh berkaitan pengurusan banjir seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah,” katanya.
Jelasnya, kesiapsiagaan turut merangkumi pemeriksaan ke atas komponen penting pengurusan banjir seperti pintu kawalan air, rumah pam dan pam bergerak bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik.
“Pintu kawalan air ada 353 lokasi, rumah pam submersible (27 lokasi), rumah pam skru (26 lokasi) selain 115 pam bergerak berkapasiti tinggi dan 34 pam bergerak separa kekal berkapasiti tinggi,” katanya.
Izham menambah, JPS Selangor turut mengaktifkan Pasukan Operasi Pemantauan Cuaca semasa Monsun Timur Laut bagi memantau stesen telemetri hujan, aras air, siren dan kamera litar tertutup (CCTV) yang sedang beroperasi.
“Semua pihak boleh mengakses maklumat ini melalui laman web InfoBanjir JPS Selangor, dengan kos operasi tahunan dibiayai bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 9,800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, termasuk Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti, berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).




