PELABUHAN KLANG, 18 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor berjaya membongkar sarang penagih dadah oleh warga asing, dalam satu serbuan di sebuah unit pangsapuri di sini semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata ketika pemeriksaan dilakukan di tingkat sembilan pangsapuri berkenaan, anggota bertugas telah mengesan tindakan seorang warga asing yang cuba membuang sebuah beg kecil dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan beberapa peralatan yang telah diubah suai dipercayai untuk menghisap dadah jenis syabu serta pemetik api.
"Rumah itu dihuni oleh tiga warga asing terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang wanita. Kes akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di sini.
Lokman berkata dalam operasi kira-kira tiga jam setengah bermula 8.30 malam itu melibatkan kekuatan 78 pegawai dan anggota, sebanyak 285 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu 95 ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa serta tiada dokumen pengenalan sah.
Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 50 tahun terdiri daripada 70 lelaki dan 25 wanita itu akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan.
“Operasi ini juga hasil aduan orang awam dan risikan telah dibuat. Malam ini adalah masa yang optimum untuk operasi, sekali gus membuktikan setiap aduan diterima pasukan JIM dihargai dan kami akan buat siasatan lanjut untuk tindakan susulan,” katanya dan menambah sebanyak 261 premis diperiksa dalam operasi itu.
Lokman mengingatkan pemilik premis kediaman untuk tidak melindungi mana-mana pendatang asing atau bakal berdepan tindakan undang-undang.




