JAKARTA, 17 NOV: Sekurang-kurangnya dua maut manakala dua cedera selepas tanah runtuh melanda daerah Banjarnegara di Jawa Tengah pada hujung minggu lalu, menurut pihak berkuasa.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Banjarnegara melaporkan seramai 823 penduduk terpaksa dipindahkan, manakala 27 lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Kejadian tanah runtuh berlaku di Desa Pandanarum, daerah Pandanarum sekitar 4 petang waktu tempatan pada Sabtu selepas hujan lebat.
“Hujan lebat dan struktur tanah yang tidak stabil berkemungkinan mencetuskan kejadian runtuhan yang merosakkan sawah padi, kebun serta 30 rumah,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ini merupakan kejadian tanah runtuh kedua di Jawa Tengah dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, selepas insiden serupa di Cilacap pada 13 Nov mengorbankan 16 orang dan menyebabkan tujuh lagi hilang.




