PETALING JAYA, 16 NOV: Karnival Kesihatan Kampung Tunku yang berlangsung hari ini dengan menawarkan saringan kanser dan pemeriksaan percuma memberi peluang kepada golongan B40 mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Antara pengunjung yang mendapat manfaat ialah Azita Mohd Nor, 64, yang berpeluang menjalani pemeriksaan mata secara menyeluruh dan turut mendapatkan cermin mata baharu bagi memudahkannya menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.

“Selain pemeriksaan mata, saya juga berpeluang membuat saringan kanser awal melalui khidmat yang disediakan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia. Saya juga dapat membantu kawan mualaf saya menyelesaikan urusan hartanya bersama Amanah Raya Berhad (Amanah Raya),” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, T Santhi, 42, memuji kemudahan saringan kesihatan percuma yang disediakan kerana ia menjimatkan kos dan memudahkan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu tempat.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai skim Suri Rumah (Lindung Kasih) bersama pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi urusan caruman suri rumah,” tambahnya.
Bagi Patsy Tan Mei Leng, 61, penganjuran program itu membuka ruang untuk dia menjalani pemeriksaan mata sekali gus dapat memperoleh cermin mata baharu secara percuma yang disasarkan kepada golongan B40.
“Penganjuran program seperti ini sangat bermanfaat terutama bagi penduduk kurang berkemampuan. Saya berharap pada penganjuran seterusnya perkhidmatan pemeriksaan gigi dapat disediakan sebagai nilai tambah untuk masyarakat,” ujarnya.









