ADN

Karnival Kesihatan DUN Bandar Baru Klang tawar vaksin denggi percuma

27 Apr 2025, 8:14 AM
Karnival Kesihatan DUN Bandar Baru Klang tawar vaksin denggi percuma

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang bakal menganjurkan Karnival Kesihatan pada 4 Mei ini.

Bertempat di pusat membeli-belah Klang Parade, wakil rakyatnya Dr Quah Perng Fei mempelawa orang ramai hadir mendapatkan saringan secara percuma.

Menurutnya, karnival itu turut menawarkan dos pertama vaksin denggi percuma terhad kepada 200 individu terawal yang berdaftar menerusi imbasan kod QR di poster yang tertera.

“Dos vaksin denggi boleh diambil bermula pada usia empat tahun ke atas dan mereka perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin selepas mendapat suntikan pertama di karnival ini.

“Untuk suntikan dos kedua perlu dapatkan dalam tempoh selepas tiga bulan dos pertama. Mereka boleh dapatkan di klinik yang kita bekerjasama pada kadar harga yang murah,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas berhubung suntikan vaksin denggi, Dr Quah berkata inisiatif berkenaan dibuat bertujuan mencegah kes denggi yang semakin meningkat.

“Ramai yang tidak tahu wujud vaksin denggi. Oleh itu, kita ambil inisiatif untuk memperkenalkan di karnival ini secara percuma, jika tidak ia perlu dibayar pada harga hampir RM300,” katanya.

Sementara itu, karnival yang berlangsung jam 11 pagi hingga 5 petang turut menawarkan kempen derma darah, bicara berkaitan nutrisi dan diet serta pameran kesihatan.