PETALING JAYA, 16 NOV: Kemudahan kesihatan dan sokongan kebajikan secara berpusat bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan yang diperlukan menjadi fokus utama penganjuran Karnival Kesihatan Kampung Tunku hari ini.
Wakil rakyatnya, Lim Yi Wei berkata program itu diadakan melalui kerjasama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bagi memastikan masyarakat menerima akses perkhidmatan yang menyeluruh.
“Matlamat utama kami ialah memudahkan penduduk mendapatkan bantuan kesihatan, kebajikan dan kaunseling agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan sejahtera.
Selain itu, pemeriksaan mata serta pemberian cermin mata baharu turut meringankan beban golongan memerlukan kerana ia merupakan satu keperluan asas yang perlu dipenuhi,” katanya selepas berucap pada Karnival Kesihatan Kampung Tunku di Gelanggang Bola Keranjang Taman Aman, hari ini.
Yi Wei menambah, penglibatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dalam program ini juga memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan saringan kanser awal.
Selain NCSM, Karnival Kesihatan Kampung Tunku ini turut menyaksikan penyertaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dalam pada itu, beliau turut menekankan usaha untuk memperluas pengenalan Kaunselor Selangor Hab Sehat bagi memastikan lebih ramai penduduk mengetahui tentang kewujudan khidmat kaunseling percuma yang disediakan untuk kesejahteraan mental masyarakat.






