ADN Kampung Tunku anjur kempen keselamatan, sumbang topi keledar kepada murid

16 Dis 2025, 10:00 AM
ADN Kampung Tunku anjur kempen keselamatan, sumbang topi keledar kepada murid
ADN Kampung Tunku anjur kempen keselamatan, sumbang topi keledar kepada murid
ADN Kampung Tunku anjur kempen keselamatan, sumbang topi keledar kepada murid

PETALING JAYA, 16 DIS: Kebimbangan penduduk terhadap keselamatan murid mendorong Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei, menganjurkan kempen kesedaran keselamatan jalan raya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku.

Isu berkenaan dikenal pasti susulan aduan penduduk sekitar SS1 serta maklum balas pihak sekolah berhubung peningkatan murid yang menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar ketika pergi dan pulang dari sekolah.

Yi Wei berkata perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan bersama pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum tindakan susulan diambil.

“Pihak sekolah dan penduduk menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan murid, khususnya melibatkan penggunaan motosikal tanpa topi keledar,” katanya.

Susulan itu, satu kerjasama strategik digerakkan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bagi melaksanakan kempen kesedaran keselamatan jalan raya.

Melalui inisiatif tersebut, JPJ Selangor menyumbangkan 50 unit topi keledar kepada murid terlibat, manakala Pejabat ADUN Kampung Tunku bersama Penggerak Belia Selangor Zon 20 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lennards John, menambah sumbangan 50 unit lagi.

Selain pengagihan topi keledar, JPJ Selangor turut menyampaikan ceramah keselamatan jalan raya kepada murid dan warga sekolah bagi meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap peraturan jalan raya.

Beliau berkata pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap isu keselamatan setempat dan mengambil pendekatan proaktif demi kesejahteraan komuniti.