ad

MSU himpun 6,000 peserta Larian Songket, dirai Tengku Permaisuri Selangor

16 Nov 2025, 1:41 AM

SHAH ALAM, 16 NOV: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melepaskan lebih 6,000 peserta Larian Songket Antarabangsa 5.0 anjuran Management & Science University (MSU) di sini semalam.

Menurut Selangor Royal Office, ketibaan Baginda di perkarangan kampus MSU disambut Presiden merangkap Pengasas MSU, YBhg. Prof. Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

"Baginda turut berkenan menyertai larian santai sehingga ke garisan penamat sebaik melancarkan sesi ‘flag off’ kategori lima kilometer.

"Baginda juga berkenan singgah ke pameran hasil tenunan songket motif seni bunga telepuk yang dipaparkan pada ruang legar universiti melalui penglibatan Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE), Padat serta Songket Republik," menurut kenyataan itu di Facebook.

Acara berkenaan turut disertai penghuni Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor (PAKATS), Rumah Anak Yatim Ulin Nuha, Rumah Kasih Harmoni, Bunga Bunga Syurga (Down Syndrome Malaysia), serta pelajar Sekolah Bina Insan Yayasan MSU.

Bertemakan ‘Eminence of Songket’, penganjuran ini bertujuan memartabat dan meraikan seni tenun songket melalui kerjasama Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Belia dan Sukan Selangor.

Program tersebut turut menampilkan pelbagai kajian dan dokumentasi berkaitan motif seni bunga telepuk, selaras inisiatif Kerajaan Negeri melalui Padat untuk mewartakan motif itu sebagai warisan tekstil rasmi Selangor.