Ilmu pertolongan cemas penting, bantu selamatkan ahli keluarga

21 Sep 2026, 6:00 AM
Ilmu pertolongan cemas penting, bantu selamatkan ahli keluarga
Ilmu pertolongan cemas penting, bantu selamatkan ahli keluarga

SHAH ALAM, 21 SEPT: Pengetahuan pertolongan cemas bukan sekadar untuk membantu individu tidak dikenali di tempat awam, sebaliknya kemahiran itu mungkin diperlukan bagi menyelamatkan ahli keluarga sendiri.

Ketua Jabatan Pengurusan Kesihatan Profesional, Fakulti Kesihatan dan Sains Kehidupan, Management and Science University (MSU), Hamdan Ibrahim berkata kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk di rumah membabitkan pasangan, anak atau ibu bapa.

“Kita belajar bantuan kecemasan bukan untuk orang lain sahaja. Sebenarnya yang pertama ialah untuk keluarga sendiri.

“Isteri, anak, suami atau ibu ayah kita dahulu. Selepas itu barulah kita fikir untuk membantu orang awam,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Menurut beliau, masyarakat sering menganggap kemahiran pertolongan cemas hanya diperlukan apabila seseorang rebah di kawasan awam.

Hakikatnya, kecemasan juga boleh berlaku di kediaman sendiri dan ketika itu ahli keluarga mungkin menjadi individu pertama berada bersama mangsa.

Jangan hanya tunggu ambulans

Hamdan berkata, tahap kesedaran mengenai pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat masih perlu dipertingkatkan terutama kecenderungan untuk bergantung sepenuhnya kepada hospital atau ambulans.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai pengetahuan asas boleh melakukan tindakan awal sementara menunggu pasukan perubatan tiba.

“Bila berada dalam situasi kecemasan, kita selalu fikir panggil hospital, panggil ambulans. Kita terlalu bergantung kepada ambulans sehingga kadang-kadang hanya tengok dan tidak buat apa-apa.

“Padahal perkara paling mudah, sekurang-kurangnya tekanan dada boleh dilakukan sementara ambulans sampai,” katanya.

Ketua Jabatan Pengurusan Kesihatan Profesional, Fakulti Kesihatan dan Sains Kehidupan, Management and Science University (MSU), Hamdan Ibrahim ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau berpandangan bahawa pendedahan mengenai bantuan kecemasan termasuk CPR perlu diperluaskan dalam komuniti dan tempat kerja supaya lebih ramai mempunyai kemahiran asas ketika berhadapan situasi tidak dijangka.

Katanya, pengetahuan itu penting kerana beberapa minit awal sebelum ketibaan pasukan kecemasan boleh menjadi tempoh kritikal bagi mangsa.

AED direka supaya orang awam boleh guna

Selain CPR, Hamdan berkata orang awam juga tidak perlu takut menggunakan alat defibrilator luaran automatik (AED) yang kini disediakan di banyak premis dan bangunan awam.

Beliau menjelaskan peralatan berkenaan memang direka supaya boleh dikendalikan orang awam dengan mengikuti arahan suara daripada alat tersebut.

“AED memang direka untuk orang awam. Apa yang perlu dibuat ialah buka kotak, hidupkan dan selepas itu akan keluar arahan suara.

“Kita ikut sahaja arahan itu, termasuk bila perlu meletakkan pad pada badan mangsa dan bila tidak boleh menyentuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, pendedahan terhadap penggunaan CPR dan AED mampu membantu masyarakat lebih yakin mengambil tindakan apabila berdepan mangsa yang tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan kecemasan.

‘First aid kit’ digalakkan ada di rumah

Dalam pada itu, Hamdan turut menggalakkan setiap kediaman mempunyai peti pertolongan cemas atau 'first aid kit', terutama rumah yang mempunyai kanak-kanak.

Katanya, aktiviti harian kanak-kanak seperti berlari dan melompat meningkatkan kemungkinan berlakunya kecederaan kecil yang memerlukan rawatan awal.

“Kalau di rumah ada ramai anak yang berlari dan melompat, kemungkinan berlaku kecederaan itu ada.

“Jadi digalakkan untuk ada first aid kit di rumah supaya apabila berlaku kecemasan, kita mempunyai peralatan asas yang boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata peti pertolongan cemas bagaimanapun perlu disertai pengetahuan mengenai penggunaan peralatan di dalamnya supaya ia benar-benar memberi manfaat ketika diperlukan.

Justeru, masyarakat disaran meningkatkan pengetahuan asas bantuan kecemasan bukan semata-mata sebagai persediaan membantu orang lain, sebaliknya sebagai kemahiran yang mungkin suatu hari diperlukan untuk melindungi insan paling dekat dengan mereka.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.