ad

Jalan kampung di Selangor dinaik taraf bawah program Turapan Mega

15 Nov 2025, 5:31 AM
Jalan kampung di Selangor dinaik taraf bawah program Turapan Mega

SHAH ALAM, 15 NOV: Program Turapan Mega yang akan bermula Januari depan bakal diperluas ke jalan kampung dan kawasan pertanian dengan penggunaan teknologi baharu dari Indonesia, iaitu Sistem Tetulang Pratuang.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata teknologi tersebut sudah diuji dan terbukti mampu menyelenggara tanah berstruktur lembut dengan lebih berkesan, terutama di kawasan ban.

“Ini kita telah kenalpasti dan kita sudah melihat keberkesanannya. Apabila kita buat kajian, ia lebih murah dan lebih cepat pelaksanaannya.

“Kita sudah laksanakan di Bagan Pasir sebagai projek perintis dan berjaya. Apabila aras laut tinggi, strukturnya kukuh sedangkan sebelum ini ia kerap runtuh,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, Izham memaklumkan Turapan Mega 2026 akan turut menggunakan teknologi baharu dari England, JetPatcher bagi memastikan kerja tampalan jalan lebih berkualiti serta tahan lama.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Belanjawan Negeri Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Jelasnya, teknologi tersebut akan dilaksanakan di jalan raya bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan setiap zon menerima sebuah mesin JetPatcher bernilai RM1 juta.

“Kali ini ada penambahbaikan, kita akan guna teknologi baharu untuk tampalan lubang. Kita akan bahagi kepada lima zon, setiap zon dapat RM5 juta (untuk laksanakan).

“Setahun ini kita sudah buat ujian, sangat berkesan dalam memastikan kualiti lubang jalan raya ini bertahan. Kita akan perluaskan di lima zon di Selangor,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan Turapan Mega dengan peruntukan RM55 juta, meningkat berbanding RM50 juta sebelum ini.

Pengumuman itu dibuat ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera” di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Program Turapan Mega yang mula diperkenalkan pada 2023 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur jalan negeri secara menyeluruh.