SHAH ALAM, 14 NOV: Program Rewang Komuniti Strata dengan tema “Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Komuniti Pangsapuri” akan diteruskan pada 2026 dengan peruntukan RM2 juta, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata program tersebut dijadualkan berlangsung tiga kali sepanjang tahun di gugusan pangsapuri yang berbeza, melibatkan penyertaan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi meneliti secara dekat isu serta keperluan penduduk strata.
“Program ini akan melibatkan aktiviti turun padang oleh agensi-agensi kerajaan untuk menyelami permasalahan komuniti pangsapuri dan seterusnya merangka program yang berkesan serta menepati kumpulan sasar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Program Rewang Komuniti Strata mula dilaksanakan pada 2024, diilhamkan oleh EXCO perumahan dan kebudayaan sebagai usaha merapatkan hubungan komuniti pangsapuri, memupuk nilai murni serta mengangkat potensi masyarakat bandar dalam pelbagai aspek.
Inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial, keharmonian kejiranan dan kemakmuran dalam kalangan penghuni perumahan bertingkat segmen perumahan yang semakin berkembang pesat di Selangor.
Program ini juga menjadi platform penting untuk mengenal pasti keperluan penyelenggaraan, keselamatan, kebersihan, serta kebajikan komuniti strata yang sering berdepan cabaran pengurusan dan kos penyelenggaraan tinggi.




