SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta kepada Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi tahun 2026 untuk memperkasa kumpulan pengasuh di Selangor, khususnya pengasuh di rumah melalui inisiatif Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negeri Selangor (IMPAK Selangor).
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini Kerajaan Negeri telah menyalurkan geran khas sebanyak RM2,000 kepada 200 pengasuh terpilih sebagai usaha meningkatkan kualiti pengasuhan dan keselamatan kanak-kanak.
“Alhamdulillah, melalui fasa pertama pada 2024 dan 2025, program ini telah mencapai kejayaan membanggakan dengan mengenal pasti lebih 2,200 pengasuh di rumah di seluruh Selangor melalui pemetaan komuniti, selain memberi latihan Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) kepada 1,000 pengasuh termasuk yang menjaga kanak-kanak OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Setakat ini, seramai 3,213 kanak-kanak berada di bawah jagaan pengasuh yang telah menerima latihan melalui IMPAK Selangor, satu angka yang sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti penjagaan awal kanak-kanak di negeri ini.
Penambahbaikan IMPAK Selangor ini merupakan sebahagian daripada agenda lebih besar Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pendidikan awal, memastikan keselamatan kanak-kanak, dan mengiktiraf peranan penting pengasuh rumah sebagai penyedia jagaan utama bagi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.





