SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri merancang menambah 300 unit baharu di bawah Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM103.2 juta pada tahun 2026.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim itu bukan sahaja menawarkan tempoh sewaan antara dua hingga lima tahun, malah memberikan pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan yang dibayar sebagai insentif kepada penyewa.
“Objektif utama skim ini adalah membantu golongan yang tidak memiliki kediaman atau berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan dengan menyediakan kemudahan sewaan rumah mampu milik pada kadar berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Skim Smart Sewa merupakan salah satu inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.




