Oleh Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM54.34 juta untuk projek tebatan banjir sebagai usaha memperkukuh ketahanan infrastruktur, keselamatan penduduk, dan kelestarian pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek tebatan banjir dilaksanakan secara strategik dan bersepadu mengikut lembangan sungai, memastikan risiko banjir dikawal secara menyeluruh, mampan dan berkesan.
“Cabaran besar perubahan iklim salah satunya adalah fenomena banjir yang menguji ketahanan infrastruktur, keselamatan penduduk dan kelestarian pembangunan negeri.
"Justeru, projek tebatan banjir menjadi benteng pertahanan negeri, demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Selangor yang lebih selamat dan sejahtera,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026.
Peruntukan projek tebatan banjir diagihkan mengikut lembangan sungai utama:
Lembangan Sungai Klang – RM16.92 juta
Lembangan Sungai Langat – RM16.51 juta
Lembangan Sungai Selangor – RM5.74 juta
Lembangan Sungai Buloh – RM1 juta
Lembangan Sungai Bernam & Kapar Besar – RM2.8 juta
Amirudin menekankan keutamaan kepada Lembangan Sungai Klang dan Langat yang kini berdepan pembangunan pesat dan peningkatan aliran air permukaan, menyebabkan banjir kilat dan monsun kerap berlaku.
“Pelaksanaan projek ini akan diperkukuh melalui kesepaduan dan kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan solusi yang dirangka benar-benar holistik, lestari dan berimpak tinggi,” tambah beliau.
Selain itu, RM11.51 juta diperuntuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor bagi melaksanakan 10 projek baharu pengurusan lembangan sungai secara holistik.
Sementara itu, RM12.89 juta diperuntukkan untuk 10 projek baharu pembangunan sistem saliran, termasuk meningkatkan kapasiti saliran sedia ada dan menambah baik sistem saliran dalaman.
“Pembangunan sistem saliran ini bukan sahaja mengawal aliran air, malah meningkatkan daya tahan infrastruktur dan melindungi komuniti daripada risiko bencana banjir,” jelas beliau.






