SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM8 juta bagi membiayai kerja baik pulih dan naik taraf pendawaian elektrik di sekolah agama di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang sudah uzur dan rosak.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah ini bertujuan menjamin keselamatan serta keselesaan pelajar, guru dan kakitangan, sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran dan kesejahteraan semua pihak.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, banyak kes kebakaran berlaku di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Teknologi dan Sains (MITS), memerlukan kerja baik pulih kecemasan yang merencatkan pelan naik taraf yang telah dirancang.
“Kebocoran arus elektrik juga membimbangkan kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga, malah boleh membawa maut,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin berkata, JAIS melalui Bahagian Pendidikan Islam mengenal pasti 13 sekolah berusia lebih 20 tahun mengalami masalah pendawaian elektrik, antara punca utama kebakaran. Pada Ogos 2025, berlaku kebakaran di Maahad Integrasi Teknologi dan Sains (MITS) Jugra.




