ad

Dana RM500,000 biayai program kesihatan khusus warga emas

14 Nov 2025, 11:15 AM
Dana RM500,000 biayai program kesihatan khusus warga emas

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM500,000 bagi program penjagaan kesihatan khusus untuk warga emas merangkumi saringan kesihatan, sesi konsultasi bersama pakar kesihatan, rawatan fisioterapi dan pemeriksaan susulan bagi pemantauan berterusan.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata program ini merupakan sebahagian pelaburan dalam kesihatan yang memberi impak besar kepada kualiti hidup rakyat negeri termaju ini.

"Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2024 mendapati Negeri Selangor merupakan negeri yang mencatatkan kadar jangka hayat tertinggi di Malaysia, iaitu purata 78 tahun bagi kedua-dua jantina.

"Pencapaian ini bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya hasil daripada gabungan pelbagai faktor penting," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, antara faktor terbabit adalah akses lebih baik kepada kemudahan kesihatan, tahap kesedaran rakyat semakin tinggi terhadap penjagaan kesihatan, serta pelbagai inisiatif kesihatan awam yang digerakkan Kerajaan Negeri.

Pada 2025, program ini memberi manfaat kepada 1,031 individu dan dijangka akan meningkat kepada 3,000 pada tahun 2026.