11 projek kukuh pesisiran pantai, inisiatif Selangor hadapi air pasang besar

14 Nov 2025, 11:04 AM
11 projek kukuh pesisiran pantai, inisiatif Selangor hadapi air pasang besar
11 projek kukuh pesisiran pantai, inisiatif Selangor hadapi air pasang besar
11 projek kukuh pesisiran pantai, inisiatif Selangor hadapi air pasang besar

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi melaksanakan 11 projek pengukuhan pesisiran pantai tahun hadapan, selaras usaha menghadapi risiko perubahan iklim dan kejadian air pasang besar yang semakin kerap.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan pesisiran pantai menjadi keutamaan bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian ekosistem pantai, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Fenomena perubahan iklim dan kejadian air pasang besar yang semakin kerap berlaku menuntut langkah yang lebih proaktif serta berkesan.

“Ia bagi memperkukuh benteng perlindungan negeri khususnya di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Kuala Langat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian ban kerap pecah yang menyebabkan banjir kilat di sekitar Dengkil.

Beliau berkata bahan pembuatan ban telah ditukar selepas bah besar 2021, namun insiden sama masih berulang, terutama di Kampung Cemperai dan Kampung Sri Tanjung.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menambah guni pasir bagi mengukuhkan ban penahan di pesisir pantai sejak fenomena air pasang besar bermula pada 17 Oktober tahun lalu.

Amirudin berkata, rondaan berkala turut dilakukan bagi memastikan struktur ban berada dalam keadaan kukuh dan tidak pecah, sekali gus mengelakkan air laut melimpah ke daratan.