SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan Selangor sedang meneroka pelaksanaan inisiatif ekonomi karbon biru (BCE) bagi memelihara, memulih dan mengurus ekosistem karbon biru di kawasan persisiran pantai negeri ini secara lebih mampan.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata pendekatan yang semakin meluas dilaksanakan di negara luar itu mampu membantu Kerajaan Negeri mengurus kawasan pesisir pantai menerusi penyelesaian berteraskan alam semula jadi (nature-based solution).
Menurutnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kini sedang menyemak semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu yang diwartakan pada 2022 bagi memasukkan pelaksanaan inisiatif BCE.
"Sepanjang empat tahun pelan itu diwartakan, banyak perubahan iklim berlaku yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
"Pembangunan yang tidak tersusun di kawasan persisiran pantai turut memberi kesan seperti hakisan, pencemaran dan gangguan terhadap biodiversiti marin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Semakan Semula Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor 2022-2030 di sini, hari ini.
Izham berkata LUAS juga sedang menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi melaksanakan inisiatif tersebut di Selangor.
"Hasil kajian berkaitan perubahan iklim turut menunjukkan keperluan Kerajaan Negeri menaik taraf sistem ban sebagai langkah memperkukuh perlindungan kawasan persisiran daripada risiko bencana," katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan BCE turut berkait rapat dengan perancangan beberapa projek pembangunan berimpak tinggi di Selangor, termasuk Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Selangor Maritime Gateway (SMG) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS).






