ad

Sistem rangkaian gantian optik berkelajuan tinggi sumber hasil baharu Selangor

14 Nov 2025, 10:32 AM
Sistem rangkaian gantian optik berkelajuan tinggi sumber hasil baharu Selangor

SHAH ALAM, 14 NOV: Sistem rangkaian gantian optik berkelajuan tinggi sepanjang 889 kilometer bakal dibangunkan sekali gus menjadi sumber hasil baharu negeri, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata sistem Masterplan Selangor Dark Fiber Network kendalian SmartSel Sdn Bhd itu melibatkan RM267 juta kos pembangunan dan mampu memberi pulangan RM196 juta dalam tempoh lima tahun.

“Untuk membangunkan pelan induk ini RM1 juta diperuntukkan. Penyediaan sistem ini dibuat secara akses terbuka agar dapat mengurangkan kerja pengorekan yang boleh menyebabkan gangguan akses kepada perkhidmatan.

“Selain daripada manfaat fiskal, sistem ini akan memperluaskan akses digital dan mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan separa bandar,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pentadbiran tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil tanah semata-mata kerana sebahagian besar kawasan telah dibangunkan.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri telah memulakan beberapa langkah seperti caj abstraksi air dan Dasar Pelepasan Cukai (ZDP). Untuk caj abstraksi air, sehingga Oktober RM33.61 juta telah diterima daripada sasaran RM70 juta.

“Dari hasil ZDP, negeri telah terima RM35 juta tahun ini melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). Enakmen LUAS akan ditambah baik supaya peningkatan hasil bertambah,” katanya.