SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi memperkukuh usaha intervensi dan pencegahan demam denggi secara berterusan dan berkesan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri ini mencatatkan penurunan kumulatif 65.4 peratus kes demam denggi bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Oktober 2025, iaitu daripada 53,187 kes pada 2024.
“Kes kematian juga menurun kepada enam kes, berbanding 14 kes pada 2024. Sehubungan itu, sejumlah RM4 juta disalurkan bagi mengupayakan intervensi yang lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Kerajaan Negeri terus melaksanakan pelbagai langkah pencegahan termasuk kawalan serantau oleh pihak berkuasa tempatan, taklimat kesedaran komuniti, serta kempen seperti Ops Denggi dan LOBBA.
Penguatkuasaan turut dipertingkat melalui tindakan kompaun dan Perintah Berhenti Kerja di tapak pembinaan yang dikesan mempunyai pembiakan Aedes.
Antara usaha lain ialah pengedaran abate bagi memusnahkan jentik-jentik di kawasan takungan air serta penggunaan penghalau serangga di kawasan luar rumah bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk.




