ad

8,317 veteran polis, tentera tidak berpencen terima baucar beli-belah RM200

14 Nov 2025, 9:52 AM
8,317 veteran polis, tentera tidak berpencen terima baucar beli-belah RM200

SHAH ALAM, 14 NOV: Seramai 8,317 veteran polis dan tentera tidak berpencen di Selangor bakal menerima baucar Jom Shopping Hari Pahlawan bernilai RM200 setiap seorang pada 31 Julai 2026, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata inisiatif baharu itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta pengorbanan para pahlawan, dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.

Amirudin mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Baucar Jom Shopping Perayaan untuk keluarga kurang berkemampuan turut dinaikkan daripada RM16.48 juta kepada RM18.48 juta tahun hadapan.

“Program ini meliputi tiga perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Setiap keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 akan menerima baucar RM200 untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya terpilih,” katanya.

Pada 2025, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada 60,150 penerima, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.