Arie Yudistira raih tiga anugerah Pengerak Belia Selangor

10 Jan 2026, 6:30 AM
Arie Yudistira raih tiga anugerah Pengerak Belia Selangor
Arie Yudistira raih tiga anugerah Pengerak Belia Selangor
Arie Yudistira raih tiga anugerah Pengerak Belia Selangor
Arie Yudistira raih tiga anugerah Pengerak Belia Selangor

SHAH ALAM, 10 JAN: Barisan Pengerak Belia Selangor (PeBS) cemerlang diraikan malam tadi dalam majlis gemilang, sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka memperkasa belia melalui program berimpak tinggi di peringkat akar umbi selaras dasar pembangunan negeri.

Penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor Arie Yudistira Ishaq dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mezahirkan rasa syukur atas pengiktirafan itu dan menyifatkannya sebagai kenangan manis menamatkan penglibatannya bersama PeBS.

Penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar dan Anugerah PeBS Lelaki Terbaik serta Anugerah Prestasi Terbaik PeBS PBT, Arie Yudistira Ishaq bercakap kepada media selepas majlis Apresiasi Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 9 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Saya mula menyertai PeBS pada usia 22 tahun ketika isu gejala ‘mat rempit’ membimbangkan. Program seperti minyak hitam percuma dan kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan untuk belia.

"PeBS berperanan sebagai pemudah cara antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti belia, dengan setiap program dirangka mengikut teras Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)," katanya ketika ditemui Media Selangor seusai majlis itu malam tadi.

Arie menambah, pengalaman kerjasama antarabangsa bersama universiti luar negara membuka perspektif baharu yang boleh diaplikasikan dalam pembangunan belia Selangor.

Selain Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor, beliau turut meraih Anugerah PeBS Lelaki Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik PeBS PBT, sambil berharap barisan PeBS generasi baharu akan terus memacu program pembangunan belia yang berkesan dan berimpak tinggi.

Penerima Anugerah PeBS Wanita Terbaik Jannaton Naimah Yaacob pula menekankan cabaran pembangunan belia di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam yang berbeza berbanding bandar.

Penerima Anugerah PeBS Wanita Terbaik, Jannaton Naimah Yaacob bercakap kepada media selepas majlis Apresiasi Penggerak Belia Selangor (PeBS) di  Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 9 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Penglibatan belia semakin berkurangan kerana faktor pekerjaan di bandar. Program perikanan dan kraftangan dengan kerjasama antarabangsa menjadi inisiatif berimpak tinggi yang meningkatkan peluang dan kemahiran belia luar bandar," katanya.

Jannaton menegaskan bahawa PeBS adalah barisan pemimpin belia yang dipilih dan perlu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, meletakkan kepentingan komuniti di hadapan kepentingan peribadi.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian beberapa lagi anugerah lain antaranya termasuklah Anugerah PeBS Harapan dan Anugerah Khas Juri PeBS, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang individu sepanjang sesi 2024/2025.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2026 mengekalkan peruntukan RM10,000 kepada PeBS bagi memastikan kelangsungan pembangunan kepimpinan di peringkat akar umbi.

Selain itu, Institut Pembangunan Kepimpinan Generasi Muda KITASelangor turut ditubuhkan tahun ini bagi memantapkan usaha pembangunan kapasiti dan kepimpinan generasi muda.

PeBS dijenamakan dan disusun semula pada 2021 daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Negeri Selangor.