ad

Selangor perluas BIPs: 320 pegawai terima insentif kenaikan gaji mulai 2026

14 Nov 2025, 9:30 AM
Selangor perluas BIPs: 320 pegawai terima insentif kenaikan gaji mulai 2026

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor akan memperhalusi dan menyesuaikan pelaksanaan Bayaran Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) agar selari dengan konteks perkhidmatan awam negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, pelaksanaan BIPs yang dianggarkan berimpak kewangan RM3.36 juta itu bakal memberi manfaat kepada 320 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional di bawah Kerajaan Negeri.

“Selangor mengambil langkah proaktif menyelaras dasar dan menerima pakai pembayaran insentif di peringkat negeri agar seiring dengan hasrat Kerajaan Persekutuan.

“Perluasan ini memberi manfaat kepada pegawai dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya tertakluk kepada kekosongan jawatan, telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam hingga lapan tahun mengikut gred semasa, serta menunjukkan prestasi baik dan cemerlang.

“Insentif khas akan diberikan bersamaan nilai satu kenaikan gaji tahunan, dibayar secara bulanan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Amirudin menjelaskan pelaksanaan BIPs di peringkat negeri turut tertakluk kepada syarat ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK).

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan peluasan BIPs kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional perkhidmatan awam Persekutuan sebagai langkah mengiktiraf prestasi cemerlang penjawat awam yang menunggu peluang kenaikan pangkat berikutan kekangan struktur jawatan.