ad

Selangor perkenal program BINGKASAN, bantu 1,300 ketua isi rumah

14 Nov 2025, 9:37 AM
Selangor perkenal program BINGKASAN, bantu 1,300 ketua isi rumah

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta untuk membantu lebih 1,300 ketua isi rumah yang tidak menepati syarat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sejak program itu dibuka tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengumumkan inisiatif khas baharu iaitu BINGKAS Tambahan (BINGKASAN) yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

“Mereka ini tidak menepati syarat BINGKAS, tetapi sekiranya tidak dibantu, mereka berisiko jatuh ke dalam kategori miskin tegar. Mereka bukan sekadar angka, tetapi ibu, ayah, dan warga yang pernah menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

BINGKASAN menyediakan bantuan tunai bersasar untuk menampung keperluan asas harian seperti makanan, barangan keperluan, dan rawatan kesihatan asas. Pelaksanaannya berpaksikan data dan keperluan sebenar penerima bagi memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar layak.

Selain bantuan tunai, penerima akan dihubungkan dengan skim kebajikan pelengkap seperti Iltizam Selangor Sihat dan Bantuan Sihat Selangor.

Dalam Belanjawan Selangor 2026, Amirudin mengumumkan peruntukan RM103 juta bagi BINGKAS dan BINGKASAN. BINGKAS menawarkan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk barangan keperluan asas, ubat-ubatan, dan kelengkapan pendidikan.

Program ini adalah sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada 2022, menggantikan skim KISS (Kasih Ibu Smart Selangor) dan KISS IT (Ibu Tunggal). Bantuan diagihkan melalui aplikasi e-dompet SELangkah untuk memudahkan penerima berbelanja.

Syarat kelayakan: pendapatan isi rumah bawah RM5,000, warganegara Malaysia, menetap di Selangor melebihi 10 tahun, dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan berusia 18 tahun ke bawah.